SIBU: Kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah bersifat futuristik dengan memperkenalkan pendekatan ekonomi digital serta penggunaan teknologi dalam bidang pertanian dan penternakan termasuk pembangunan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan mengambil kira semua aspek kehidupan rakyat termasuk beberapa bidang meskipun dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti pendidikan yang melibatkan sekolah-sekolah, kerajaan negeri sanggup dibantu menggunakan dana sendiri demi masa depan anak-anak Sarawak.
“Seterusnya semasa beliau menjadi Ketua Menteri, dunia, negara dan negeri dilanda krisis wabak Covid-19 tetapi berjaya mengharungi cabaran ini.
“Dalam banyak hal Sarawak sentiasa ke hadapan dari segi pemberian bantuan kebajikan kepada rakyat melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1 hingga 8. Program kesejahteraan dan kesihatan rakyat melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak seperti program vaksinasi mendahului negeri lain.
“Semua ini berjaya direalisasikan atas kebijaksanaan Ketua Menteri memimpin Sarawak dengan menambahkan dana hasil kepada negeri ini melalui pelbagai pendekatan ekonomi baharu yang diperkenalkan termasuk mengenakan cukai ke atas hasil minyak dan gas,” jelasnya menerusi satu kenyataan, semalam.
Katanya, kejayaan terbesar membuktikan keyakinan rakyat aras kepimpinan Ketua Menteri adalah berjaya mencipta sejarah apabila telah memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
“Ini menunjukkan bahawa kesungguhan dan dedikasi Ketua Menteri untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri termaju menjelang 2030 difahami dan dipercayai rakyat selaras dengan 34 inisiatif manifesto dan lebih 100 manifesto pembangunan beliau.
“Saya percaya, dengan momentum kepimpinan beliau, insyaAllah, kita yakin bahawa kita sekarang berada di landasan yang baik dan betul untuk mencapai status negeri termaju menjelang 2030,” ujarnya.
Safiee mengucapkan tahniah kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari sempena Ulang Tahun Kelima telah dilantik sebagai ketua Menteri.
Katanya, Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari) merupakan seorang pemimpin yang benar-benar mementingkan kebajikan rakyat di mana penduduk-penduduk di luar bandar tidak dilupakan.
“Pembangunan di kawasan luar bandar jelas terlihat dan ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam menambahbaik sosio ekonomi rakyat di luar bandar.
“Kesungguhan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari terhadap pembangunan luar bandar juga boleh dilihat daripada pembinaan projek-projek infrastruktur dan kemudahan asas seperti projek pembangunan pembinaan jambatan, jalan raya, bekalan elektrik, air dan telekomunikasi yang semakin meluas di kawasan luar bandar,” ujarnya lagi.
Tambahnya, usaha murni Ketua Menteri dalam memimpin Sarawak dari pelbagai aspek jelas terpapar seperti mewujudkan Petros, DBOS, SMA serta meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Sarawak termasuk mewujudkan sekolah-sekolah dan agensi pengajian tinggi bertaraf dunia.
Oleh AKUN GIMAN