MIRI: Syabas dan tahniah kepada Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM) di atas inisiatif mengadakan Projek Tanaman Sayuran Hidroponik dan tanaman nanas di Piasau Camp Jalan Pantai di sini Selasa lalu.
Demikian ucapan Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Dato Sebastian Ting Chiew Yew ketika mengadakan lawatan itu Selasa lalu.
“Kejayaan ini membuktikan mereka yang kurang upaya mampu menjayakan projek tanaman sebegini. Hari ini saya datang ke sini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang berada di sini atas kejayaan projek tanaman sayuran hidroponik dan buah nanas.
“Tahniah juga di atas sesi taklimat yang sangat menarik dalam menerangkan aktiviti di Pusat Aktiviti Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri ini,” katanya.
Sehubungan itu, POKUFM merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa Orang Kurang Upaya (OKU) kategori fizikal dengan sokongan masyarakat yang prihatin melihat keadaan dan hala tuju masa depan mereka yang berada di Miri.
Setakat ini, keahlian POKUFM adalah seramai 29 orang dengan 16 OKU kategori fizikal, tiga OKU kategori masalah pendengaran dan enam orang sukarelawan.
Pada lawatan itu, Datuk Sebastian yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada POKUFM bagi tujuan perbelanjaan utiliti dan aktiviti tahunan.
Hadir sama Penghulu Leonard Fung, Pengerusi POKUFM Mazlan Daraman dan Setiausaha POKUFM Abdul Aziz Brahim.
Oleh ADUM LIU