BUKIT MERTAJAM: Harga sayur-sayuran dijangka stabil dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi berikutan pelbagai usaha yang dijalankan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Pengerusi FAMA Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, sebelum ini, berlaku kenaikan harga sayur-sayuran berikutan beberapa faktor antaranya masalah pengangkutan dari negara pengeluar, banjir dan cuaca yang tidak menentu di kawasan penanaman sehingga menyebabkan bekalan berkurangan.
“Sekarang, kami (FAMA bersama MAFI) mengambil pelbagai usaha bagi menstabilkan harga sayur-sayuran dan dalam masa satu hingga dua bulan lagi kemungkinan ia akan terus turun…seterusnya pengguna mendapat bekalan dengan harga berpatutan dan mereka tidak terbeban.
“Ketika ini, rata-rata petani khususnya penanam sayur yang terjejas akibat banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara Covid-19 telah memulakan semula projek tanaman mereka yang rosak atau tergendala sebelum ini. Pada masa yang sama, isu pengangkutan termasuk dari luar negara yang bermasalah juga kini berjaya dikawal secara berperingkat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan di Kompleks Pengedaran FAMA Bukit Mertajam sebagai hab pengedaran dan pembungkusan berteknologi tinggi di Pulau Pinang.
Sementara itu, Mohd Fasiah berkata, FAMA menerusi anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACorp) dijangka memperluaskan lagi aktiviti perniagaannya dengan meneroka beberapa cabang perniagaan yang lebih mencabar pada tahun ini bagi membantu lebih ramai usahawan mengembangkan dan menjana ekonomi.
Katanya, ia termasuklah memanfaatkan sepenuhnya ruang-ruang yang terdapat di kompleks pengedaran atau pusat operasi termasuk di Bukit Mertajam iaitu dengan mewujudkan kemudahan bilik sejuk dan Pusat Teknologi Pembungkusan Retort menerusi peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
“Dengan adanya kemudahan itu, ia dapat membantu usahawan tempatan yang mempunyai akses pasaran eksport selain meningkatkan mutu pembungkusan dan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan laminat yang fleksibel,” katanya.
Beliau berkata, teknologi pembungkusan retort juga membenarkan pensterilan pelbagai jenis produk makanan dan minuman serta mampu meningkatkan kualiti dan jangka hayat produk.
— Bernama