BARCELONA kembali berlatih semalam selepas penyandang juara La Liga itu membenarkan bintang mereka menggunakan fasiliti latihan sebagai persediaan penyambungan semula saingan bola sepak di Sepanyol.
Lionel Messi dan rakan-rakannya menggunakan padang di pusat latihan Joan Gamper bagi sesi individu, yang mana pemain tiba secara berseorangan menuju ke tiga buah padang tanpa melalui bilik persalinan.
Mereka juga diuji tahap kesihatan untuk melihat kesan dua bulan selepas melakukan kuarantin berikutan penularan wabak Covid-19.
“Akhirnya kami kembali menjalani kehidupan normal. Kami harap mampu mengharunginya dan dalam masa terdekat bergembira dengan apa yang kami suka lakukan,” kata Arturo Vidal kepada Marca.
Sevilla, Villarreal, Osasuna dan Leganes juga kembali menyambung latihan, manakala Real Madrid yang ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Barca, dikatakan akan memulakan latihan Isnin ini jika pemain mereka melepasi ujian virus Rabu lalu.
Ia memasuki tempoh dua bulan sejak pemain Real dikuarantin berikutan salah seorang pemain bola keranjang kelab berkenaan diuji positif.
Berdasarkan laporan media Sepanyol, tidak ada seorang pemain Real yang mempunyai simptom virus berkenaan tapi Zinedine Zidane akan meneruskan latihan tanpa penyerang Serbia, Luka Jovic selepas Real mengumumkan pemain berkenaan mengalami kecederaan tumit kanan.
Pemain bola sepak di Sepanyol memulakan latihan selepas kerajaan membuat pengumuman minggu lalu untuk menamatkan kuarantin kepada pemain profesional.
Sesi latihan individu adalah langkah pertama dengan harapan La Liga mampu disambung semula Jun depan bagi melengkapkan musim 2019-20 di gelanggang tanpa penonton.
Malah gergasi bola sepak Itali, Inter Milan dan AC Milan kembali turut turun berlatih semalam selepas dua bulan menjalani perintah berkurung di bandar utara Itali itu.
Inter berkata, semua pemain dan staf mereka diuji negatif koronavirus dan membolehkan merka kembali berlatih secara individu di sebelah petang.
“Semua pemeriksaan kesihatan ke atas pasukan utama mendapati hasilnya negatif,” kata kenyataan pasukan. Latihan individu akan berlangsung sebelah petang.”
Pencabar setempat, AC Milan turun ke padang lebih awal dengan Pengarah Teknikal kelab, Paolo Maldini menegaskan ‘tidak turun ke padang akan menjadi bencana’.
Bekas kapten Itali, Maldini bersama anaknya berusia 18 tahun, Daniel, pemain kelab remaja Milan, telah pulih daripada koronavirus itu.
“Anda perlu berhati-hati tetapi tidak kembali berlatih akan menjadi bencana daripada semua pandangan,” kata Maldini, 51, ketika perbualan dalam Instagram bersama bekas rakan sepasukan, Filippo Inzaghi.
“Perancis salah dalam menamatkan liga mereka tetapi kami menerima ia adalah keputusan kerajaan. Terdapat banyak ketidakpastian.”
Kedua-dua kelab Milan itu menegaskan mereka mengambil langkah pencegahan maksimum ketika sesi latihan pasukan masing-masing.-AFP