KUCHING: Pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab telah mengakibatkan kebanyakan longkang dan sungai tersumbat pada masa kini.
Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kho Teck Wan berkata, beliau sendiri telah membuat pemantauan bersama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan mendapati faktor longkang dan sungai tersumbat adalah sampah sarap.
“Mereka yang tidak bertanggungajawab di dalam pembuangan sampah sarap ini telah mengakibatkan masalah banjir . Bagi menyelesaikan isu ini, kita perlu menaik taraf sistem pengairan.
“Jabatan Saliran dan Pengairan telah menjalankan kajian berkenaan cuaca pada 2013 dan satu lagi kajian berkenaan dengan banjir pada 2016 . Hasil kajian menunjuk kepada projek penebatan banjir.
“Kuching diberi keutamaan dalam projek fasa pertama dipanggil Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawakyang berjumlah RM150 juta tetapi ia terpaksa dinilai semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Kho.
Setakat ini, katanya, terdapat sembilan projek kecil di bawah PLSB Sungai Sarawak, iaitu cadangan kerja penebatan banjir untuk Hospital Umum Sarawak, Jalan Batu Lintang, Kuerters Persekutuan, Sungai Tabuan ( Jalan Foochow, Sungai Apong), Sungai Gersik, Sungai Sinjan, Taman Malihah, Sekolah Kebangsaan Muara Tuang danTaman Uni Garden.
“Projek ini akan dilaksanakan di bawah konsep rekabentuk dan bina di mana pihak perunding cuma dilantik pada tahun 2020.
“Pelaksanaan fizikal sesetengah projek ini cuma bermula tahun ini. Saya telah menyatakan masalah banjir di Kuching dan perlunya untuk ia ditangani sebelum 2018 dan menjadikan ia sebagai manifesto pilihan raya pada tahun tersebut.
“Saya berharap semua agensi dan ahli politik dapat menangani isu pengairan ini secara serius sebelum ia terlambat,” kata Kho.
Oleh CONNIE CHIENG