Masih ingat dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam yang pernah popular satu ketika dahulu? Jika anda pernah menontonnya, pasti akan tahu dengan bunga Harum Sundal Malam yang ada dipaparkan di dalam filem ini.
Menariknya, ramai yang baharu kenal dengan bunga ini melalui filem tersebut walaupun biasa melihatnya di mana-mana. Malah ramai yang mempersoalkan nama bunga ini yang agak pelik.
Sebenarnya bunga ini mempunyai nama saintifik iaitu Polianthes tuberosa atau Polyanthus lily tetapi dalam kalangan orang tempatan, ia dikenali dengan nama Harum Sundal Malam, .
Di negara jiran Indonesia, ia dikenali sebagai Sedap Malam dan di India, namanya Ratkirani atau bermaksud Mistress Of The Night. Di mana-manapun bunga ini dikaitkan dengan malam, mungkin kerana ia kembang dan mengeluarkan bau yang amat harum pada waktu malam.
Namun ramai yang tidak tahu bahawa selain cantik dan harum, bunga ini sebenarnya boleh dimakan dan enak jika dijadikan sayur. Rasanya hampir seperti kangkung, cuma ada sedikit kelat dan ini menambah keunikan rasanya.
Menurut seorang penanam dan penjual bunga ini, Betty Aran, jika ingin membuat sayurnya, kuncup bunga ini perlu dipetik sebelum ia sempat mekar. Malah sebatang pokok ini boleh memberikan kuncup yang amat banyak dan mudah dipetik.
Bagaimanapun, bahagian bawah kuncup ini perlu dipatahkan untuk menarik keluar stigmanya kerana ia agak berlendir. Cara penyediaan sayurnya terpulang kepada individu tetapi biasanya orang tempatan akan membuat sayur tumis.
Menurut Betty, setiap kali beliau menjual kuncup bunga ini di gerai taninya, ia selalu menjadi tarikan kerana ramai yang ingin tahu dan belajar cara memasaknya. Ramai juga yang mengakui baharu pertama kali melihat kuncup bunga tersebut walaupun biasa mendengar namanya.
Orang-orang tua zaman dahulu pula biasa mengeringkan kuncup bunga ini untuk dijadikan sayur kering Harum Sundal Malam. Kuncup kering ini biasanya mempunyai rasa sedikit masam tetapi enak untuk dijadikan bahan campuran masakan lain.
Oleh HAINI DARANI