KUALA LUMPUR: Aplikasi perkongsian kereta SOCAR Malaysia telah menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran e-dagang bagi memperkasa dan mempertingkat usaha penjanaan pendapatan ketika tempoh ketidaktentuan ekonomi.
Penyedia khidmat penghantaran yang terbabit adalah seperti MrSpeedy, Lalamove dan Pickupp.
Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR, Leon Foong berkata, syarikat itu tidak hanya menyasarkan untuk muncul sebagai pengupaya pengangkutan tetapi berhasrat untuk turut memacu pertumbuhan ekonomi dan perniagaan serta sentiasa mengenal pasti rakan niaga sewajarnya.
“SOCAR mempunyai pelbagai pilihan kenderaan, kadar kompetitif, lokasi pengambilan yang selesa serta peruntukan bahan api dan perbatuan yang memadai bagi membolehkan kami menyokong perniagaan mengekalkan pertumbuhan selain mengurangkan keperluan aliran tunai harian.
“Malah, mengikut pilihan masing-masing, perniagaan terbabit dapat memilih lebih daripada 2,000 kereta di sejumlah 1,000 lokasi di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Teleport – syarikat logistik AirAsia bagi mengembangkan kedudukan bersama di peringkat serantau dengan menyediakan penyelesaian mudah alih untuk penghantaran barangan termasuk makanan segar, barangan keperluan, bungkusan e-dagang dan bantuan perubatan.
“Mereka yang berhasrat menjadi ejen penghantaran tetapi tiada kenderaan boleh memanfaatkan tawaran istimewa SOCAR membabitkan Perodua Axia, Perodua Bezza, Perodua Myvi, Proton Iriz dan Kia Picanto menerusi kerjasama dengan Teleport di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.- Bernama