LIMBANG: Kerajaan perlu mengakui bahawa kelemahan sistem penyampaian agensi kerajaan bertanggungjawab adalah menyebabkan beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan termasuk pembinaan Jalan Pintasan dari Limbang ke Miri tidak dapat disiapkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah berkata, Kerajaan Sarawak dan Persekutuan sudah berusaha meluluskan projek pembangunan sebelum ini, tetapi tidak dapat dilaksanakan.
“Apa yang berlaku kepada sistem penyampaian, kerajaan sudah banyak membantu melaksana projek pembangunan.
“Ini menyebabkan rakyat yang tidak tahu akan menuduh kerajaan tidak melakukan projek, sedangkan kerajaan sudah membuat yang terbaik dan semua pihak perlu memastikan semua keperluan rakyat disampaikan kepada rakyat,” katanya pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekarangan berhampiran Medan Selera di sini, semalam.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, kerajaan akan meneruskan program pembangunan dengan membawa lebih banyak projek ke daerah ini demi kepentingan rakyat terus dilaksanakan pada tahun ini.
“Tidak akan ada noktah untuk meneruskan pembangunan, yang penting semua pihak perlu bekerjasama termasuk agensi dan kontraktor yang diberi amanah untuk melaksanakan projek jalan dari Limbang ke Miri dapat dibina segera,”ujarnya.
Jelas beliau, terdapat lagi kemudahan lif di bangunan Tamu Limbang yang dipohon kepada Kerajaan Sarawak sebelum ini diharap dapat direalisasikan pada tahun ini.
Menurutnya, kemudahan lif diperlukan memudahkan warga emas dan mereka yang menghidap sakit kaki dapat menggunakan kemudahan itu yang kini dalam peringkat tender.
“Kemudan lif di bangunan Tamu Limbang ini amat dinanti, walaupun ia kecil, tetapi memberi makna besar kepada rakyat kita,” katanya.
Selain itu, projek lain yang dilaksanakan pada tahun ini termasuk pembinaan jambatan kekal Enseriban di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kini konsultan sudah dilantik.
Terdahulu, kerosakan Jambatan Enseriban itu sebelum ini dilakukan syarikat pembalakan sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk penduduk yang melalui jalan balak terbabit.
“Sementara itu, pembinaan Jambatan Semena kemungkinan akan dikaji sedikit kerana laluan yang berlainan.
“KPLB juga akan berunding dengan Kerajaan Sarawak untuk menyambung Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) dengan Jalan Hulu Tubai Mentawai dari Mulu ke Marudi, Marudi ke Miri dan seterusnya menghubungkan Limbang dan Miri tanpa melalui Brunei dengan segera,” jelasnya.
Katanya, pembinaan jalan pintasan dari Limbang ke Miri ini bukan benda baharu, tetapi sudah dirancang untuk dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8).
Oleh ADENG EDRUS