SARAWAK memiliki institusi perbankan sendiri menerusi penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) ditubuhkan pada 11 Mei 2017 yang diwujudkan untuk membangunkan ekonomi digital negeri setelah dipersetujui dan diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Institusi Kewangan Pembangunan.
DBOS menyediakan pelbagai kemudahan, antaranya pinjaman dan kemudahan kredit pusingan untuk pembiayaan modal kerja.
Sarawak tidak boleh sekadar menunggu bantuan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membangunkan ekonomi digital, yang dirangka bagi memperkukuhkan ekonomi negeri pada masa depan.
Setelah DBOS beroperasi secara rasmi pada Januari 2018, bank pembiayaan itu mempunyai modal berbayar sebanyak RM500 juta.
Penubuhan DBOS tepat pada masanya ketika Sarawak sedang dalam usaha untuk membangunkan ekonomi dengan sumber sendiri, malah Sarawak mempunyai rizab kewangan yang besar sepanjang kepimpinan Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bank tersebut bakal menyediakan dana bagi melaksana beberapa projek strategik negeri dalam usaha mengejar pelan transformasi sosioekonomi Sarawak bagi tahun 2017-2030.
Katanya, objektif utama bank berkenaan adalah memberi fokus bagi perlaksanaan beberapa projek untuk empat sektor utama di bawah projek strategik negeri iaitu sektor insfrastruktur ICT (ekonomi digital), sektor tenaga, sektor pengangkutan awam urban dan sektor servis.
“Dengan pendapatan yang konsisten, negeri ini akan dapat terus menyokong transformasi pembangunan ekonomi bagi kedua-dua negeri.
“Projek-projek strategik termasuk pembangunan sektor empat kunci…insfrastruktur ICT (ekonomi digital), sektor tenaga termasuk penjanaan kuasa minyak dan gas, sektor perkhidmatan dan pengangkutan awam bandar,” katanya.
Menurutnya lagi, DBOS akan membiayai dan memberi pinjaman kepada projek dengan nilai komersial.
”Antara projek yang dibiayai oleh bank ini adalah projek infrastruktur asas termasuk yang berkaitan dengan internet dan sebahagian daripada projek melibatkan sistem pengangkutan.
DBOS turut membiayai projek-projek dalam sektor tenaga diperbaharui, industri gas dan minyak, penjagaan kesihatan dan pertanian moden.