NAIROBI: Polis di Ethiopia menahan seorang wartawan video sambilan yang bekerja untuk The Associated Press (AP), kata agensi berita Amerika Syarikat (AS) dan media kerajaan pada Rabu lalu.
AP menggesa pembebasan segera Amir Aman Kiyaro, yang dikatakan telah ditangkap di ibu negara Addis Ababa pada 28 November lalu selepas pulang dari bertugas.
Wartawan yang bekerja di Ethiopia menghadapi sekatan di bawah keadaan darurat di seluruh negara yang diisytiharkan bulan lalu oleh kerajaan, yang telah terkunci dalam konflik kejam selama 13 bulan dengan pemberontak Tigrayan.
Menurut media kerajaan, dua lagi wartawan tempatan yang dikenal pasti oleh media kerajaan sebagai Thomas Engida dan Addisu Mulneh turut ditahan.
Imej ketiga-tiga lelaki itu, serta kad pengenalan mereka, disiarkan oleh media kerajaan dalam laporan video mengenai penahanan mereka.
“The Associated Press amat bimbang bahawa pekerja sambilan AP Amir Aman Kiyaro telah ditahan oleh kerajaan Ethiopia, dituduh mempromosikan keganasan.
“Ini adalah tuduhan yang tidak berasas. Kiyaro ialah seorang wartawan bebas yang telah melakukan kerja penting di Ethiopia dalam semua aspek konflik.
“Kami menggesa kerajaan Ethiopia untuk membebaskan Kiyaro dengan segera,” kata Naib Presiden Kanan dan Editor Eksekutif AP, Julie Pace dalam satu kenyataan.
Inspektor polis Ethiopia Tesfaye Olani menuduh tiga wartawan itu melanggar undang-undang darurat dengan berusaha menyebarkan propaganda mengenai Barisan Pembebasan Rakyat Tigray dan sekutunya Tentera Pembebasan Oromo yang memerangi pasukan kerajaan.
Beliau berkata,tindakan mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara tujuh hingga 15 tahun.
Pada masa sama, kebanyakan zon yang dilanda konflik di utara Ethiopia mengalami gangguan komunikasi dan akses untuk wartawan adalah terhad.
Ethiopia mengumumkan keadaan darurat baharu yang melarang perkongsian maklumat bukan rasmi mengenai pergerakan ketenteraan dan hasil medan perang, satu perintah yang dilihat sebagai percubaan untuk menyekat lagi laporan media mengenai perang pada akhir November lalu.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang berpangkalan di New York berkata dalam laporan minggu lalu bahawa sembilan wartawan berada di sebalik penjara di Ethiopia pada 2021. -AFP