BAU: Kerajaan Sarawak sentiasa membantu golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini dalam memperkasakan keupayaan mereka mendepani cabaran masa kini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai kursus, insiatif, pinjaman serta geran ditawarkan kepada PKS sebagai usaha membantu meningkatkan lagi kapasiti kemahiran mereka.
Begitu juga dengan kontraktor katanya, kerajaan turut memberikan kursus lebih-lebih lagi dalam melaksanakan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan memberi keutamaan kepada kontraktor kelas A dan C.
“Kita juga menumpukan kepada usaha untuk memperbanyakkan lagi premis perniagaan supaya masyarakat kita dapat kemudahan tempat untuk menjalankan perusahaan dan perniagaan kerana kita mahu membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Promosi Keusahawanan Daerah Bau (MINTRED) di Dewan Kampung Sekio, di sini semalam.
Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) berkata, kerajaan komited membantu PKS di Sarawak kerana ia merupakan aktiviti ekonomi utama masyarakat.
Selain itu, beliau turut menyifatkan PKS sebagai tulang belakang ekonomi Sarawak di samping sebagai penubuhan perniagaan di Malaysia malah di Bumi Kenyalang ini terdapat lebih 90 peratus rakyat terdiri daripada PKS.
Disebabkan itu katanya, kerajaan berusaha mewujudkan estet perindustrian di seluruh Sarawak terutama di kawasan luar bandar dengan harapan ia dapat meningkatkan penglibatan masyarakat dalam sektor PKS.
“Kita juga melaksanakan beberapa projek seperti anjung usahawan di beberapa tempat dan usaha tersebut akan kita teruskan di mana anjung usahawan memainkan peranan untuk menyediakan ruang kepada PKS dalam pelbagai bidang.
“Dalam masa yang sama usaha ini juga dapat dijadikan sebagai platform mempromosikan produk tempatan,” katanya.
Oleh SYAMIMI HUSNA