SIBU: Sibu memerlukan orang yang duduk dalam satu ‘halaman yang sama’ dan mempunyai corak pemikiran yang sama untuk terus fokus ke arah mencapai status bandar rayanya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini amat diperlukan untuk menjamin pembangunan Sibu yang berterusan.
“Sebab itu Sibu memerlukan pasukan tempatan yang kuat sama seperti Sarawak memerlukan kerajaan yang kuat untuk meneruskan pembangunan menuju 2030 dan melindungi haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Taman Shi-Yi Foochow di Sibu, semalam.
Turut hadir, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr. Annuar Rapa’ee, Pengerusi Persatuan Foochow Sibu Ying Tieng Chai dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting.
Abang Johari berkata, peranan beliau sebagai Ketua Menteri bukanlah hanya untuk sesebuah daerah, bandar, luar bandar atau kawasan tertentu, tetapi beliau adalah Ketua Menteri Sarawak.
Oleh itu, katanya, Sarawak mempunyai masyarakat yang unik yang mana rakyat dari latar belakang kaum berbeza dibenarkan mengamalkan budaya mereka sendiri.
“Saudara-saudara Cina kita yang sangat menitikberatkan pendidikan dibenarkan menubuhkan sekolah mereka sendiri dan mempromosikan pendidikan Cina.
“Ramai bukan Cina menghantar anak mereka ke sekolah Cina kerana mereka tahu kualiti pendidikan Cina adalah tinggi,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyokong pendidikan Cina dengan bantuan kewangan RM10 juta setahun sama seperti sokongan yang diberikan kepada sekolah mubaligh.
Beliau juga berkata, Kerajaan Sarawak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Katanya lagi, melalui pengiktirafan itu, pemegang UEC boleh memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam negeri.
“Anda tidak akan jumpa perkara seumpama ini berlaku di bahagian lain di dunia, malah di Semenanjung Malaysia.
“Kerajaan Persekutuan tidak mengiktiraf UEC, walaupun ketika kerajaan PH berkata mahu mengiktiraf sedemikian tetapi kerajaan negeri melaksanakan apa yang telah dijanjikan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Foochow Sibu kerana bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sibu (SMC) untuk membina Taman Shi-Yi Foochow bernilai RM3.5 juta di Jalan Gambir.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Lembaga Sekolah SJK(C) Dung Sang kerana telah memulakan pembinaan blok bilik darjah dan dewan serba guna yang menelan belanja RM9 juta.
Oleh NURZILLA MOHAMAD