Planetarium Sultan Iskandar, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak menganjurkan program Jerayawara Sahabat Astronomi di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri bermula dari bulan November hingga Disember 2021.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan kesedaran astronomi kepada orang ramai, terutamanya para pelajar.
Tarikan utama program adalah mini planetarium di mana pengunjung akan dapat mengalami pengalaman berada di alam semesta melalui simulasi langit malam di terdapatnya planet, bulan dan buruj melalui pertunjukan digital tentang astronomi.
Selain daripada itu, pengunjung dapat menyaksikan pertunjukan digital yang berunsurkan astronomi keluaran antarabangsa.
Di samping itu, program jerayawara ini juga akan melibatkan aktiviti-aktiviti ‘hands-on’ di mana pelajar boleh belajar membuat carta bintang dan memahami cara menggunakan perisian planetarium.
Turut juga diadakan kuiz astronomi dan pertunjukan sains.
Sebelum ini, jerayawara hanya dianjurkan di sekolah-sekolah sahaja dan tidak melibatkan orang ramai.
Kali ini, jerayawara diadakan di lokasi pasar raya popular agar dapat menarik ramai pengunjung dari pelbagai peringkat umur yang berkesempatan untuk berkunjung ke pameran yang diadakan.
Semasa program, pihak penganjur turut menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan jaringan jangkitan Covid-19.
Planetarium Sultan Iskandar adalah unit di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN