KUCHING: Pertembungan pelbagai penjuru dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) berkemungkinan disebabkan kecenderungan minat terhadap politik semakin meningkat dalam kalangan rakyat.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, disebabkan itu PRN-12 kali ini menyaksikan peningkatan calon yang bertanding agak ketara berbanding PRN-11 yang lalu.
“Susulan minat terhadap politik atau anjakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meningkatkan minat rakyat dalam bidang politik sehingga ramai calon termasuk calon bebas mencuba nasib untuk bertanding pada PRN-12,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Beliau berkata demikian pada Program Sembang Politik PRN-12 bertajuk PRN Sarawak: Mampukan GPS pertahan majoriti 2/3? di studio mini Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak di Samudra Hotel di sini, semalam.
Tajuk itu dibincangkan bersama-sama Penganalisis Politik Tempatan, Dr. Lucy Sebli Seidelson dan moderatornya bekas Editor Kanan Berita Harian, Kadir Dikoh.
Karim yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya akui, dua parti blok pembangkang utama iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan memberikan impak pada PRN-12 nanti.
Bagaimanapun beliau percaya, persaingan tersebut tidak menjadi masalah kepada GPS dan yakin GPS mampu memenangi sekurang-kurangnya dua per tiga kerusi DUN menjelang PRN-12 nanti.
“Untuk parti lain seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), secara peribadi saya merasakan parti-parti itu sebagai ‘parti penjelmaan semula’ daripada parti lain sebelum ini.
“Disebabkan itu saya rasakan mereka berkemungkinan besar tidak akan memenangi satu pun kerusi (DUN) termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR),” ujar beliau lagi.
Oleh SYAMIMI HUSNA