FAIZAL BUJANG
BEKAS penjaga gol berpengalaman Sarawak, Aidil Mohamad tetap menguatkan semangat untuk menunaikan ibadah puasa walaupun kesihatan dirinya yang masih dalam pemantauan ketika ini.
Anak jati kelahiran Kampung Sungai Alo, Mukah itu pada November tahun lepas disahkan mengalami masalah kandungan darah putih yang agak tinggi.
Selain itu, dia turut mengalami kandungan darah merah yang dijangkiti kuman serta saluran air kencingnya yang turut tersumbat.
Ia sekali gus menyebabkannya dia terpaksa menjalani pembedahan segera di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan menerima rawatan susulan sehingga kini.
“Alhamdulillah saya masih dapat menunaikan ibadah puasa ketika ini walaupun terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga,” ujar Aidel ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, tempoh dua minggu menjalani ibadah puasa dia tetap mengikuti jadual pemakanan ubat yang diarahkan oleh doktor.
Katanya, ia penting bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Saya memastikan jadual pemakanan ubat seperti diarahkan oleh doktor sebelum ini,” tambah Aidil yang akan melakukan rawatan susulan pada September nanti.
Aidil mula menyarung jersi pasukan Sarawak pada 2007 hingga 2018 di bawah kendalian beberapa jurulatih seperti Mohamad Mantali, Wahed Uji, Kunju Jamaluddin, Haji Zaki Sheikh Ahmad, Robert Albert, Pengiran Bala, Azley Abdullah (Jurulatih Penjaga Gol).
Pencapaian terbaiknya pernah membantu Sarawak muncul juara dalam kempen Liga Perdana 2013.