GEDONG: Daerah Gedong berpotensi untuk dibangunkan dengan aktiviti ekonomi khususnya dalam bidang pertanian.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya jalan raya yang menghubungkan banyak kawasan di kawasan sekitar Gedong dan Simunjan, maka ia adalah sebagai kawasan yang berintegrasi dengan yang berlaku di Samarahan.
Jelas beliau, kawasan Gedong dan Simunjan adalah kawasan berpotensi baik khasnya jika membangunakan infrastruktur asas termasuk jalan raya.
“Jalan raya ini mesti menghubungi hab yang ada di kawasan ini iaitu Simunjan terus ke Kota Samarahan dan Gedong sudah di sambungkan dengan Serian, maknanya Gedong akan menjadi kawasan pertengahan di dalam pembangunan yang berlaku di kawasan ini.
“Dari Samarahan pula ia akan dihubungi dengan jalan baharu antara kawasan Samarahan ke kawasan Sadong Jaya melimpasi Asajaya ke Sebuyau dan di Sebuyau pula ada jalan menghubungkan kepada Lingga dan menyeberang ke Jambatan batang lupar.
“Gedong juga sudah di sambungkan dengan Serian dan ini maknanya Gedong dan Simunjan tidak lagi kawasan yang terpencil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Jalan Lubok Teranggas ke Gedong, semalam.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan 149 unit Mediapad kepada pelajar di Gedong dan Simunjan.
Huawei MediaPad tersebut disumbangkan oleh Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) kepada Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri ini
Pengagihan itu melibatkan pelajar dari 12 sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong, SK Kepayang, SK Tegelam, SK Sebuyau Esengei, SK Keniong, SK Lubok Punggor, SK Semalatong, SK Munggu Lallang, SK Sungai Ba, SK Kampung Gumpey dan SK Lubok Buntin.
Abang Johari berkata, apabila siapnya jalan itu kelak ia akan menghubungi rakyat untuk menjual hasil pertanian mereka sekali gus dapat meningkatkan pendapatan.
“Kalau kita ada buka jalan, kita buat Taman Agro dan pertanian kita akan menjadi pertanian moden menggunakan digital.
“Manakala golongan muda pula tahu menggunakan teknologi dan jika mereka membuat kajian bersama dengan penduduk kampung (pekebun) dari sudut teknologi.
“Kalau kita sudah ada Taman Agro ia akan sumber penghasilan makanan dan kita tahu ia sangat penting sekarang, jadi kita boleh membantu kawasan ini menghasilkan makanan untuk dipasarkan termasuk di Indonesia dan Singapura,” katanya.
Mengenai projek Jalan Gedong ke Lubok Terangas, Abang Johari berkata, perbelanjaan kos projek tersebut mencecah bilion ringgit.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan berapa jumlah sebenar bagi kos projek Jalan Gedong ke Lubok Terangas.
“Memang kosnya agak besar, saya tidak dapat memberitahu jumlah yang sebenar, tetapi ia mencecah bilion ringgit.
“Projek ini akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) di bawah Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai pengerusi.
“Jika siapnya jalan ini kelak, perjalanan dari Gedong ke Kuching mengambil masa 40 minit, sama juga dengan Simunjan,” katanya.
Penduduk di sekitar Pekan Gedong bakal menikmati kemudahan jalan pintas ke Kota Samarahan apabila pembinaan projek jalan sepanjang 6.85 km dengan Standard Jabatan Kerja Raya (JKR) R3 berserta dua Jambatan RC siap kelak.
Objektif projek tersebut adalah untuk mengurangkan jarak perjalanan dan masa perjalanan penduduk sekitar Kota Samarahan ke kawasan Kampung Gedong daripada 82 km (1 jam 30 minit) kepada 52km (50 minit) sekali gus menambah baik pergerakan lalu lintas jalan raya di kawasan tersebut.
Projek di bawah Kerajaan Sarawak ini akan memanfaatkan lebih kurang 4,633 penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Oleh JEAKQLEYN YACHO