KERAJAAN komited untuk menghubungkan semua kawasan pendalaman di negeri ini dengan jaringan jalan raya yang sempurna agar dapat dihubungkan dengan dunia luar.
Laluan penyambung antara Ngemah di Kanowit dan Temalat di Song yang merupakan ‘missing link’ Jalan Kapit-Sibu kini menjadi nadi penghubung semua kawasan sekitar wilayah tengah Sarawak.
‘Missing link’ sepanjang 9.6 kilometer di antara Ngemah dan Temalat adalah sebahagian daripada pembinaan jalan raya sepanjang 83 kilometer Jalan Kapit-Sibu.
Pembinaan Jalan Ngemah-Nanga Temalat dibahagikan kepada dua fasa yang menelan kos RM150 juta.
Ini jelas membuktikan Kerajaan GPS komited untuk menghubungkan semua kawasan di pedalaman Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri telah mengetuai Rombongan Ekspedisi Bermotosikal Sibu-Kapit melalui jalan darat pada 4 Oktober 2020.
Kata Abang Johari, dengan adanya jaringan jalan raya yang menghubungkan semua kawasan pedalaman, sudah pastinya tidak ada lagi kawasan yang terpencil.
“Dari Sibu, Kapit, Belaga dan Bintulu, semuanya akan berhubung. Sudah tidak ada kawasan dalam Sarawak terpencil, semuanya berhubung.
“Sebab itu, saya datang sendiri ke sini bagi melihat sendiri pembangunan yang telah dilaksanakan ini,” katanya.
Beliau berkata, laluan Sibu -Kapit sepanjang 110 kilometer itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan tengah, termasuk di Nanga Ngungun.
Projek pembinaan jalan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM751,889,205.42.
Terdahulu, sebelum siap sepenuhnya, Jalan Nanga Ngemah-Nanga Temalat hanya dibuka dari Isnin hingga Ahad kepada orang ramai mulai jam 6.30 pagi hingga 8 pagi, 12 tengahari hingga 1.30 petang dan 6.00 petang hingga 9.00 malam.
Bagaimanapun, pada masa ini, pengguna yang berulang alik dari Kapit ke Sibu kini dapat melalui Jalan Ngemah-Temalat dengan mudah tanpa sebarang mengira waktu.
Pengguna yang melalui jalan tersebut disajikan dengan panorama bergunung-ganang dan berbukit-bukau indah.
Jalan Ngemah-Nanga Temalat kini menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan di kawasan luar bandar yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Oleh NURZILLA MOHAMAD