SK Saint Paul Banting warisi sejarah pendidikan sejak 1853

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Doris Sophia Brodie pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Murid dan Merarau SK Saint Paul Banting. Foto Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

LINGGA, 29 Nov: Keunikan dan nilai sejarah Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Paul Banting yang ditubuhkan pada 1853 perlu terus dihargai sebagai sebahagian daripada warisan pendidikan dan sejarah perkembangan masyarakat di Sarawak.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, SK Saint Paul Banting merupakan antara sekolah mubaligh tertua di Sarawak selepas Sekolah Saint Thomas Kuching yang ditubuhkan pada 1848.

Beliau berkata, sekolah berkenaan merupakan salah sebuah daripada 129 sekolah mubaligh di Sarawak dan mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam landskap pendidikan negeri ini.

“Sejarah panjang sekolah ini sejak 1853 membuktikan sumbangannya dalam menyediakan pendidikan kepada masyarakat. Warisan ini perlu terus dihargai dan dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Murid dan Merarau SK Saint Paul Banting, di sini, semalam.

Doris turut menyentuh peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sebagai inisiatif kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan rumah ibadat dan institusi agama bukan Islam, termasuk membantu keperluan pembangunan sekolah mubaligh.

Katanya, sejak penubuhannya pada 2017, sebanyak RM686 juta telah diperuntukkan melalui UNIFOR, termasuk RM120 juta khusus untuk sekolah mubaligh di Sarawak.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa dan guru supaya terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan pelajar mendapat manfaat sepenuhnya daripada inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Menurutnya, inisiatif berkenaan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi, sekali gus membina masa depan yang lebih baik.

Turut berucap ialah Guru Besar SK Saint Paul Banting, Matsah Rugis.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PIBG, Dennis Keri; Penghulu Belie Blassan; Rev. Fr. Camcay; tuai rumah dari Banting, Langgir, Kerepok, Jungkong dan Tanjung Bijat serta para kaunselor dan ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Oleh Adi Safarman