SIBURAN, 29 Nov: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan yang menang tanpa bertanding digalak membantu calon di kawasan lain yang masih berdepan persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, usaha itu sedang dipertimbangkan bagi memastikan kekuatan jentera parti dapat dimanfaatkan untuk membantu kawasan yang memerlukan sokongan sepanjang tempoh kempen.
Menurutnya, kaedah bersesuaian akan dicari bagi membolehkan jentera dari kawasan yang tidak lagi berdepan pertandingan membantu calon GPS di kawasan lain.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Bidayuh di Dewan Kampung Sinjok, di sini.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi tidak seharusnya menyebabkan jentera GPS berasa selesa atau leka, sebaliknya semua pihak perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan di kawasan yang masih dipertandingkan.
Menurutnya, GPS menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya 76 kerusi dan berusaha memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
Beliau berkata, kemenangan besar penting bagi memastikan GPS terus mempunyai mandat yang kukuh untuk melaksanakan agenda pembangunan Sarawak, termasuk merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Oleh Adele Rissa




