SAMARAHAN, 29 Nov: Masalah banjir kilat yang kerap melanda kawasan Taman Samarindah dijangka bertambah baik menerusi pelaksanaan projek rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai hampir RM50 juta yang sedang dilaksanakan kerajaan Sarawak.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) itu melibatkan pembinaan saliran lebih besar termasuk parit monsun di lokasi yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka membantu mengurangkan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu ketika hujan lebat, meskipun penyelesaiannya mungkin tidak dapat menghapuskan masalah berkenaan sepenuhnya.
“Saya yakin dan percaya apabila projek ini selesai, keadaan banjir kilat di Samarindah akan menjadi lebih baik dan penduduk akan lebih selesa.
“Projek ini sedang dalam proses pelaksanaan dan mungkin mengambil sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, di Bilik Gerakan N17 Stakan, hari ini.
Mengulas masalah sama di kawasan Uni Garden, Hamzah berkata satu projek saliran yang dibiayai kerajaan Persekutuan turut sedang dilaksanakan bagi menangani masalah banjir kilat di kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa kerja penyambungan longkang masih perlu diselesaikan sebelum projek itu dapat memberikan manfaat sepenuhnya kepada penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata projek pembinaan tangki air di Samarindah juga akan direalisasikan selepas kerajaan Sarawak meluluskan pelaksanaannya.
Menurutnya, kontraktor bagi projek berkenaan telah dilantik dan kini sedang mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan, khususnya Pejabat Tanah, sebelum kerja pelaksanaan dapat diteruskan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan projek tangki air Samarindah.
“Saya yakin dan percaya tangki air itu akan berdiri selepas ini. Menteri berkenaan, Datuk Seri Julaihi Narawi juga serius mengarahkan agensi berkaitan supaya mempercepatkan proses pelaksanaannya,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi





