KABONG, 29 Nov: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.40 Kabong membuat laporan polis berhubung kehilangan hampir 50 batang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipasang di sepanjang jalan di kawasan Kabong.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kabong hari ini dan diketuai Ketua Pergerakan Pemuda PBB N.40 Kabong, Abdul Rahim Peli.
Menurut Abdul Rahim, kehilangan bendera berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana ia melibatkan bahan kempen yang dipasang bagi memeriahkan suasana Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN-13).
Beliau berkata, pihaknya berharap kejadian itu tidak berulang dan menyeru penduduk supaya menghormati bahan kempen yang dipasang oleh mana-mana parti sepanjang tempoh pilihan raya.
“Saya menyeru kepada semua penduduk Kampung Kabong agar tidak mengambil atau mengalihkan bendera yang telah dipasang di sepanjang jalan bagi memeriahkan suasana pilihan raya kali ini.
“Biarlah bendera-bendera ini kekal dipasang sehingga selesai hari pengundian nanti,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat menunjukkan sikap matang dan bertanggungjawab dengan menghormati hak setiap parti untuk menjalankan aktiviti kempen masing-masing.
Menurutnya, suasana pilihan raya seharusnya diraikan dalam keadaan aman, harmoni dan penuh semangat demokrasi tanpa sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kelancaran kempen.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Oleh Adi Safarman





