Jentera GPS jangan leka meski 29 kerusi menang tanpa bertanding – Fadillah

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Pelancaran Jentera Bidayuh itu merupakan sebahagian daripada persiapan dan penyelarasan gerak kerja jentera Pemuda GPS Zon 4 bagi menghadapi hari pengundian PRN Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini. Foto : Zulazhar Sheblee

SIBURAN, 29 Nov: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan supaya tidak leka atau berasa selesa susulan kejayaan gabungan itu memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, GPS perlu terus memperkukuh gerak kerja di kawasan yang masih menyaksikan pertandingan bagi memastikan kemenangan sekurang-kurangnya 76 kerusi, dengan sasaran meraih kesemua 82 kerusi DUN.

JENTERA GPS Zon 4 menyelaras gerak kerja bagi menghadapi baki kerusi yang dipertandingkan, dengan sasaran memastikan kemenangan di kesemua 82 kerusi DUN. Foto : Zulazhar Sheblee

Menurutnya, kawasan yang telah menang tanpa bertanding juga digalakkan membantu jentera di kawasan lain yang masih memerlukan sokongan, tanpa mengira asal calon GPS yang bertanding.

Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan gerak kerja jentera di semua kawasan berjalan lancar.

“Kita menggalakkan kawasan yang sudah menang tanpa bertanding membantu rakan-rakan di kawasan yang masih bertanding.

“Yang lebih utama, jentera GPS jangan leka dan berasa selesa hanya kerana kita sudah menang tanpa bertanding di 29 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Bidayuh di Dewan Kampung Sinjok, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, kemenangan di semua 82 kerusi penting bagi memastikan GPS mempunyai kekuatan yang kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak, termasuk pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta perancangan masa depan wilayah itu.

Katanya, GPS juga berhasrat mencipta satu lagi sejarah dalam PRN kali ini dengan mencatatkan jumlah kemenangan kerusi tertinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah mengingatkan calon yang telah menang tanpa bertanding supaya tidak menganggap kemenangan itu sebagai keistimewaan, sebaliknya satu amanah yang disertai tanggungjawab besar kepada rakyat.

Beliau berkata, kemenangan tersebut membawa harapan dan jangkaan rakyat yang perlu dipenuhi, khususnya dalam usaha membawa Sarawak ke arah pembangunan lebih maju dan makmur serta memastikan kesejahteraan masyarakat terus diberi perhatian.

“Kemenangan ini bukan satu keistimewaan untuk menjadikan seseorang itu popular, tetapi satu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan dan ditunaikan sebaik mungkin,” katanya.

Majlis Pelancaran Jentera Bidayuh itu merupakan sebahagian daripada persiapan dan penyelarasan gerak kerja jentera Pemuda GPS Zon 4 bagi menghadapi hari pengundian PRN Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini.

Oleh Afiq Sallehi