MIRI: Pembuangan sisa domestik, perindustrian, aktiviti hiliran dan lain-lain ke dalam sungai merupakan punca kepada penceraman sungai.
Justeru, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menyaran seluruh warga Miri khasnya dan Sarawak amnya untuk sentiasa menjaga kebersihan sungai serta membudayakan pemuliharaan dan pemilikannya.
“Harapan saya adalah supaya komuniti setempat terus memberi kerjasama yang erat kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dalam memelihara dan memastikan kebersihan sungai.
“Komuniti juga disaran untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa yang berkenaan sekiranya berlaku pencemaran sungai supaya tindakan pembendungan dan langkah-langkah pemuliharaan boleh diaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Awam Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Masjid, Kuala Baram di sini, kelmarin.
Kim Shin menambah, kesedaran awam ke atas kebersihan sungai dalam kalangan masyarakat umum amat mustahak kerana sungai merupakan antara aset yang paling penting sebagai sumber kehidupan.
“Sungai yang bersih dan selamat dapat membekalkan sumber air dan makanan,digunakan sebagai medium pengangkutan dan perhubungan,dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan.
“Selain itu, boleh membekalkan tenaga elektrik melalui pembinaan empangan hidro-elektrik,membantu dalam memperkembangkan industri pelancongan dan banyak lagi,” katanya.
Mengenai program anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) Miri, katanya, ia merupakan inisiatif dan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dengan objektif utama untuk menanam dan meningkatkan kesedaran awam berkenaan pentingnya keselamatan pengangkutan sungai, pemelihara kebersihan sungai dan kebersihan sungai.
Pelbagai aktiviti diadakan pada program tersebut seperti ceramah mengenai kepentingan dan kebersihan sungai, ceramah kesihatan, gotong-royong mengutip sampah dan pertandingan mewarna.
Hadir sama, Pengerusi LSSS , Murni Suhaili.
Oleh LIONG CHAI LING