29 kemenangan tanpa bertanding hadiah buat Abang Jo – Nancy

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri ketika ditemui pemberita pada program Sekolah Angkat MADANI di SMK Tun Abang Haji Openg, hari ini.

PETRA JAYA, 28 Nov: Kemenangan 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai hadiah istimewa kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebagai pengiktirafan terhadap keberkesanan kepimpinannya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pencapaian itu mencerminkan keyakinan serta penghormatan ramai terhadap kepimpinan Abang Johari yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin yang menunaikan setiap janji dibuat.

Menurutnya, pendekatan Abang Johari yang sentiasa memastikan setiap perancangan dilaksanakan, selain memberikan penjelasan mengenai tempoh pelaksanaan projek yang belum dapat disempurnakan, membuktikan ketelusan beliau dalam menerajui Sarawak.

“Bagi saya, ini merupakan satu hadiah untuk Yang Amat Berhormat Premier kerana ia melambangkan kepimpinan beliau yang begitu berkesan sekali.

“Apa yang kita dapat perhatikan selama ini, Yang Amat Berhormat Premier ini cakap serupa bikin. Jadi, tidak ada janji-janji yang kemudian tidak dilaksanakan.

“Kalau beliau belum dapat melaksanakannya, beliau akan beritahu projek itu untuk tahun yang mana. Jadi, di situ kita dapat melihat beliau merupakan seorang pemimpin yang begitu telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Sekolah Angkat MADANI di SMK Tun Abang Haji Openg, di sini, hari ini.

Nancy berkata, beliau turut berbangga dengan penghormatan yang diberikan kepada kepimpinan Abang Johari, sambil menyifatkan pengesahan 29 kemenangan tanpa bertanding itu sebagai satu perkembangan yang patut disyukuri.

Mengulas kemungkinan senario sama berulang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, beliau berkata perkara itu hanya menjadi harapan dan bergantung kepada persepsi serta penerimaan pengundi terhadap parti-parti politik di peringkat Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting bagi setiap pemimpin adalah terus menjalankan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada masyarakat serta memberikan yang terbaik berdasarkan kemampuan dan peruntukan yang tersedia.

Dalam pada itu, Nancy berkata, perkembangan pengundi muda yang semakin aktif menyuarakan pandangan menerusi media sosial merupakan satu perkembangan baharu dalam landskap demokrasi negara.

Katanya, maklum balas golongan itu wajar dilihat sebagai input berguna kepada kerajaan dan pemimpin untuk menambah baik mutu perkhidmatan serta memastikan keperluan rakyat terus diberikan perhatian.

Beliau berkata, golongan muda dilihat lebih praktikal dalam menilai sesuatu perkara dan cenderung memberikan pandangan berdasarkan realiti serta pelaksanaan sesuatu dasar.

Justeru, katanya, pandangan dan maklum balas berkenaan perlu dimanfaatkan sebagai ruang untuk kerajaan meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Oleh Shahrul Qaizat