KUCHING, 28 November: Kesemua lima calon wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 melakar sejarah tersendiri apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon hari ini.
Mereka ialah Ketua Wanita GPS merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat) dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang).
Turut mencatat kejayaan sama ialah Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga) serta dua muka baharu Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang) dan Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu).
Kemenangan itu menyaksikan Dayang Nurfizawati dan Nurfatin Syafawani bakal menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak buat kali pertama manakala tiga lagi berjaya mempertahankan kerusi masing-masing tanpa perlu melalui proses pengundian pada 12 Disember.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menzahirkan ucapan tahniah kepada kelima-lima calon berkenaan, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai amanah dan tanggungjawab untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
“Semoga kepercayaan yang diberikan ini menjadi dorongan untuk terus membawa suara serta memperjuangkan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing. Tahniah dan selamat menjalankan amanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN kali ini, GPS mengetengahkan lima calon wanita berbanding empat pada PRN 2021, termasuk dua muka baharu daripada latar belakang profesional berbeza.
Nurfatin Syafawani, 34, adalah bekas jurutera kanan Sarawak Energy Berhad manakala Dayang Nurfizawati, 51, berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Premier Sarawak sejak 2017.
PRN Sarawak ke-13 mempertaruhkan 82 kerusi DUN, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Disember sebagai hari pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/– Bernama





