KUCHING, 28 Nov: Seramai 4,899 pegawai dan anggota polis digerakkan di seluruh Sarawak bagi memperkukuh kawalan keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 (PRN13).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Saifullizan Ishak berkata, kekuatan itu melibatkan 481 pegawai kanan polis dan 4,418 pegawai rendah polis serta anggota yang ditempatkan di lokasi strategik di seluruh negeri.
Menurutnya, penugasan itu turut disokong lima unit Pasukan Simpanan Persekutuan (PORU), 47 pasukan Pasukan Serangan Ringan (LSF) dan 75 pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D7) bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Penugasan dan kesiapsiagaan pasukan ini bertujuan memastikan sebarang situasi yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dapat ditangani dengan cepat, berkesan dan terkawal,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, pihak polis telah membuat persiapan rapi dari segi kekuatan anggota, penugasan operasi dan logistik bagi memastikan keselamatan sepanjang proses pilihan raya.
Katanya, semua ibu pejabat polis daerah (IPD) akan terus menyelaras penugasan mengikut keperluan operasi serta tahap risiko di kawasan masing-masing sepanjang tempoh pilihan raya.
Mengulas proses penamaan calon yang berlangsung hari ini, Saifullizan berkata, kesemua 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak beroperasi dalam keadaan aman, lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan.
Beliau menyifatkan kelancaran itu sebagai cerminan kesiapsiagaan, komitmen dan profesionalisme kontinjen polis Sarawak dalam memastikan keselamatan sepanjang proses demokrasi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua calon, parti politik dan penyokong masing-masing supaya mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya yang berkuat kuasa sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini.
Saifullizan turut mengingatkan semua pihak supaya mengelakkan provokasi atau sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta mencetuskan ketegangan antara penyokong parti politik.
“Polis akan bertindak secara profesional, adil dan berkecuali serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis turut memberi perhatian serius terhadap penyalahgunaan media sosial, khususnya penyebaran berita palsu, fitnah, hasutan serta kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat, perpaduan dan keselamatan negara.
Menurutnya, kontinjen polis Sarawak akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan keselamatan bagi memastikan kelancaran setiap fasa pilihan raya, termasuk pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap matang, bertanggungjawab dan saling menghormati sepanjang proses pilihan raya demi mengekalkan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
“Kontinjen polis Sarawak kekal komited untuk memastikan PRN Sarawak berlangsung dalam suasana aman, selamat dan terkawal. Kerjasama serta sokongan semua pihak amat penting bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar tanpa menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Oleh Connie Chieng




