SIBU, 28 Nov: Hasrat calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Annuar Rapaee untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka menyaksikan persaingan empat penjuru selepas tiga calon bebas turut mengemukakan pencalonan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Tiga calon bebas yang bakal mencabar penyandang itu ialah Simon Tiong Ing Lung, 58, Kho Mung Ming, 48, dan Tieh Sing Ming, 52.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan kerusi Nangka yang sebelum ini dijangka menyaksikan kemenangan tanpa bertanding bertukar kepada persaingan empat calon.
Annuar tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu pada 8.30 pagi dengan diiringi kira-kira 1,400 penyokong sebelum menyerahkan borang pencalonan pada 9.05 pagi.
Beliau dicadangkan Dato Sri Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan disokong Ibrahim Laili.
Simon pula mengemukakan borang pencalonan pada 9.24 pagi dengan Law Jing Sun dan Law Jing Yang bertindak sebagai pencadang dan penyokong.
Kho menyerahkan borang pada 9.45 pagi dengan Bong Le Ching sebagai pencadang dan Tie Sing Fu sebagai penyokong, manakala Tieh mengemukakan pencalonan pada 9.54 pagi bersama Tu Sui Eng dan Tiong Sii Chiong masing-masing sebagai pencadang dan penyokong.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN N.55 Nangka, Christopher Ranggau Unting mengesahkan pencalonan keempat-empat calon bagi pertandingan kali ini.
Pada PRN Sarawak Ke-12, Annuar memperoleh 12,059 undi untuk menewaskan dua pencabarnya, Intanurazean Wan Sapuan Daud daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendapat 1,255 undi dan Olivia Lim Wen Sia daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 1,027 undi.
Kemenangan itu menyaksikan beliau memperoleh majoriti 10,804 undi.
DUN N.55 Nangka mempunyai seramai 36,312 pemilih berdaftar.
Oleh Tarani Lanting




