SIMANGGANG, 28 Nov: Kemenangan tanpa bertanding yang diraih penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 hari ini disifatkan sebagai satu detik bersejarah buat kawasan berkenaan.
Beliau berkata, tarikh 28 November 2026 akan terpahat dalam sejarah DUN N.28 Lingga apabila buat julung kalinya kerusi berkenaan menyaksikan kemenangan tanpa bertanding dalam pilihan raya negeri.
Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya membawa amanah, kepercayaan dan tanggungjawab besar untuk terus memperjuangkan pembangunan serta kebajikan rakyat di kawasan tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, barisan kepimpinan GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), seluruh jentera Parti PBB N.28 Lingga serta segenap lapisan rakyat DUN Lingga.

“Kemenangan ini bukan sekadar sebuah kejayaan, tetapi merupakan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang amat besar buat saya.
“Terima kasih atas setiap doa, sokongan, pengorbanan dan keyakinan yang diberikan sepanjang perjalanan saya berkhidmat,” katanya.
Beliau menegaskan kemenangan bersejarah itu bukan noktah perjuangan, sebaliknya menjadi permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan pembangunan DUN Lingga terus diperkasakan.
“Kemenangan ini bukanlah noktah perjuangan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita dalam membangunkan DUN Lingga ke persada yang lebih mampan, maju dan cemerlang. Insya-Allah,” katanya.
Mengulas hala tuju pembangunan kawasan itu, Dayang Noorazah menegaskan kerjasama dan perpaduan semua pihak merupakan kunci utama untuk memacu kemajuan Lingga.
Katanya, keutamaan akan terus diberikan kepada penyelesaian serta keperluan infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih dan rangkaian jalan raya yang masih diperlukan penduduk setempat.
Selain itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk memperkasakan pembangunan ekonomi, terutama sektor pertanian di Bahagian Sri Aman dan kawasan DUN Lingga.
Usaha berkenaan akan terus digerakkan selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digagaskan oleh Premier Sarawak bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Kemenangan tanpa bertanding itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik DUN N.28 Lingga, dengan harapan agar kepercayaan yang diberikan dapat diterjemahkan kepada kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Turut mengiringi Dayang Noorazah sebelum proses penamaan calon iaitu Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar.
Oleh Adi Safarman




