BAKUN, 28 Nov: Persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Murum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyaksikan pertembungan antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kennedy Chukpai Ugon, dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Gho Sten Wan Imang.
Kedua-dua calon disahkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Robert Loiman Deli, selepas proses penamaan calon di Dewan Seri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun, selesai pada hari ini.
Kennedy dikemukakan oleh Patrick Uban sebagai pencadang dan Rentap Ticho sebagai penyokong, manakala Gho Sten mendapat sokongan pencadang Mona Motoi serta penyokong Rocky Saluk.
Kedua-dua calon hadir bersama pencadang dan penyokong masing-masing bagi menyempurnakan urusan penamaan calon.
Pertandingan satu lawan satu itu menyaksikan GPS dan PBDS masing-masing meletakkan wakil untuk merebut kepercayaan pengundi di kawasan Murum pada PRN kali ini.
Oleh Carolyne Utih





