SPAOH, 28 Nov: Penyandang Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Bukit Saban selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai gambaran kematangan penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan, selain mencerminkan penerimaan mereka terhadap pelbagai usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan GPS selama ini.
“Ini menunjukkan kematangan penduduk dan pengundi di Bukit Saban kerana mereka telah menerima serta berterima kasih atas apa yang telah GPS lakukan selama ini,” katanya selepas proses penamaan calon bagi kerusi DUN Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.
Menurut Uggah, pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu mula memperlihatkan hasil ketara, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Beliau berkata, pembangunan di Bukit Saban merangkumi pelbagai projek infrastruktur dan ekonomi, termasuk Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC), agropark, pembinaan jambatan baharu serta projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Di peringkat negeri, kerajaan GPS turut melaksanakan pelbagai projek infrastruktur, termasuk pembinaan 22 jambatan, dengan 14 daripadanya telah siap, selain projek pembinaan dan naik taraf jalan raya di seluruh Sarawak.
Uggah menyifatkan kemenangan tanpa bertanding itu sebagai satu amanah besar yang menuntut beliau terus memberikan komitmen kepada rakyat, khususnya dalam memastikan agenda pembangunan yang masih belum selesai dapat diteruskan.
“Bagi saya, kemenangan tanpa bertanding ini adalah satu tanggungjawab. Dalam kita berterima kasih, saya akan terus komited kepada rakyat, terutama dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, antara keutamaan selepas ini ialah merealisasikan sasaran meningkatkan pendapatan isi rumah kepada RM15,000 sebulan menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, sasaran berkenaan merupakan cabaran besar yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat bagi memastikan setiap program pembangunan dapat memberikan manfaat kepada rakyat.
“Ini satu sasaran yang tinggi dan cabaran yang hebat. Tetapi saya yakin, jika kita dapat bekerjasama dengan kerajaan GPS yang mempunyai program serta pendekatan tersendiri, sasaran ini mampu kita capai,” katanya.
Dalam aspek pendidikan pula, Uggah menegaskan bahawa pemberian akses kepada ilmu pengetahuan dan peluang pekerjaan kepada generasi muda merupakan antara pendekatan penting untuk memutuskan kitaran kemiskinan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Isu kemiskinan dapat kita selesaikan melalui pemberian ilmu dan pekerjaan kepada anak-anak kita supaya pendapatan mereka lebih baik daripada pendapatan ibu bapa mereka dahulu,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pembangunan di Bukit Saban akan terus dipergiat bagi memastikan seluruh lapisan masyarakat berpeluang menikmati kemudahan, peluang ekonomi dan program pembangunan yang disediakan kerajaan.
“Kita akan terus bekerja sebanyak mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Bukit Saban, pegawai pengurus pilihan raya, pasukan keselamatan serta pihak media atas kerjasama dalam memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan teratur.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Oleh Adi Safarman





