BEKENU, 27 November: Suasana politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu terus menjadi tanda tanya apabila belum kelihatan sebarang pergerakan jelas daripada parti pembangkang mahupun calon Bebas untuk mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang hari penamaan calon esok.
Sebelum pembubaran DUN Sarawak, beberapa pergerakan politik melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), TERAS serta beberapa individu yang pernah menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini dilihat memberi petunjuk bahawa persaingan mungkin berlaku di kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan PKR dipercayai terpaksa mengetepikan hasrat untuk bertanding di Bekenu susulan arahan pucuk pimpinan parti, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan calon GPS berdepan laluan tanpa pencabar.
Namun, dalam politik, keadaan yang kelihatan tenang tidak semestinya menjanjikan tiada kejutan.
Segala-galanya hanya akan terjawab apabila proses penamaan calon berlangsung dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) membuat pengumuman rasmi pada 10.00 pagi esok.
Bagi DUN Bekenu, Dewan Masyarakat Bekenu ditetapkan sebagai pusat penamaan calon dengan urusan penyerahan borang berlangsung dari 9.00 hingga 10.00 pagi.
Setakat ini, tiga individu tempatan yang dikenal pasti telah membeli borang penamaan calon di Pejabat Daerah Subis, namun pembelian borang semata-mata belum mengesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan.
Dalam perkembangan sama, calon baharu GPS, Nurfatin Syafawani Tahamat, 34, dari Kampung Pejuang Kelulit, bakal membawa nafas baharu kepada landskap politik Bekenu.
Bekas jurutera Sarawak Energy Berhad itu diberi kepercayaan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menggantikan penyandang kerusi DUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus, yang mengambil keputusan mengundurkan diri selepas empat penggal berkhidmat.
Pemilihan Nurfatin dilihat sebagai langkah memberi peluang kepada generasi muda untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan dan pembangunan di kawasan Bekenu.
Persoalannya kini, adakah Bekenu bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu atau menyaksikan GPS menang tanpa bertanding?
Jawapannya hanya akan diketahui esok apabila pintu penamaan calon ditutup dan keputusan rasmi diumumkan.
Oleh Adum Liu





