15 keluarga terima kunci rumah baharu di SPK Trusan

Facebook
WhatsApp
UTAMAKAN RAKYAT...Awang Tengah pada perasmian Projek Pembangunan Semula Trusan Bazaar menerima kunci kediaman baharu di Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan.

LAWAS, 26 November: Seramai 15 keluarga yang terlibat dalam Projek Pembangunan Semula Trusan Bazaar menerima kunci rumah baharu menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan dalam satu majlis yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Pada majlis sama, Awang Tengah turut melancarkan Projek Pembangunan Semula Trusan Bazaar yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di Dewan Masyarakat Trusan.

Rumah jenis Sapphire 1 yang dibina menerusi LCDA CTR Technology Sdn. Bhd. itu telah siap sepenuhnya dan memperoleh Permit Menduduki (OP), dengan harga jualan RM150,000 seunit berbanding kos pembinaan, termasuk penyediaan tapak dan infrastruktur, yang mencecah kira-kira RM480,000 seunit.

Kesemua 15 penerima turut menerima bantuan deposit perumahan sebanyak RM10,000 seorang bagi meringankan beban kewangan dalam memiliki kediaman sendiri.

Secara keseluruhan, LCDA merancang membangunkan 30 unit rumah di SPK Trusan, dengan baki 15 unit dijadualkan mula dibina pada suku kedua 2027.

Rumah bagi fasa kedua akan dilengkapi sistem tenaga solar dengan separuh kos pemasangan ditanggung oleh Kerajaan  Sarawak.

Pemohon yang layak juga boleh mendapatkan pembiayaan melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. pada kadar faedah serendah satu peratus dan tiga peratus bagi golongan B40 dan M40 tertakluk kepada syarat pembiayaan.

Bagi projek pembangunan semula Trusan Bazaar, pelan induk seluas16. 48 ekar telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 12 Jun 2026.

Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan awal RM7 juta manakala anggaran kos komponen di bawah tanggungjawab LCDA ialah RM47. 9 juta.

Skop tersebut merangkumi kerja tapak dan infrastruktur, masjid, tamu dan berbagai kemudahan lain termasuk tapak stesyen minyak dengan kerja pembinaan dijangka bermula sebelum suku kedua 2027.

Pembangunan ini bertujuan menyediakan kediaman yang lebih selesa serta memperluas akses kepada kemudahan awam dan peluang perniagaan.

Kedudukan Trusan berhampiran Brunei serta pembangunan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) turut menyokong potensinya sebagai pekan satelit.

LCDA akan bekerjasama dengan agensi berkaitan dan masyarakat setempat bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan terancang serta memberi manfaat kepada penduduk.

Oleh Adeng Edrus