DALAM Islam, lelaki bukan sekadar insan yang diberikan kekuatan fizikal atau tanggungjawab untuk mencari nafkah, bahkan mereka turut diberikan amanah sebagai pemimpin, pelindung serta pembimbing kepada keluarga.
Konsep ini dikenali sebagai lelaki qawwam, iaitu lelaki yang bertanggungjawab memimpin, melindungi, menjaga dan membimbing keluarganya berdasarkan ajaran Islam.
Qawwam bukan bermaksud lelaki mempunyai kuasa mutlak untuk mengarah atau menguasai wanita, tetapi bermaksud lelaki yang diberikan amanah dan tanggungjawab yang besar untuk memastikan keluarganya berada dalam landasan yang diredai Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”
Ayat ini menerangkan bahawa peranan lelaki sebagai ketua hadir seiring dengan amanah, antaranya menyediakan keperluan hidup, menjaga keselamatan serta memberi tunjuk ajar.
Oleh itu, lelaki qawwam bukanlah lelaki yang mahu dihormati, tetapi lelaki yang terlebih dahulu memahami kewajipan untuk melaksanakan tanggungjawab.
Kepimpinan dalam Islam bukan tentang siapa yang paling berkuasa, tetapi siapa yang bersungguh-sungguh melaksanakan amanah Allah SWT.
AMANAH KEPIMPINAN DAN KEINDAHAN KASIH SAYANG
Seorang lelaki qawwam meletakkan keimanan sebagai tunjang dalam setiap tindakan dan keputusan.
Kepimpinannya tidak dipengaruhi oleh dorongan hawa nafsu, kemarahan mahupun kepentingan peribadi. Sebaliknya, dia sentiasa berusaha memastikan setiap tindakannya selaras dengan syariat Allah SWT.
Memimpin dengan iman bermaksud seorang suami berusaha membimbing isteri dan anak-anaknya agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Dia sentiasa mengingatkan ahli keluarganya tentang kewajipan menunaikan solat, mengajar mereka membezakan perkara halal dan haram serta mewujudkan suasana rumah tangga yang dipenuhi nilai-nilai keislaman.
Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka dan bahan-bahan bakarannya.”
Ayat ini jelas mengingatkan bahawa tanggungjawab seorang lelaki bukan sekadar memastikan keluarganya mempunyai tempat tinggal, makanan dan pakaian yang mencukupi. Lebih daripada itu, dia juga perlu mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan keluarganya di akhirat.
Seorang suami yang memikul amanah sebagai qawwam tidak seharusnya membiarkan keluarganya menyimpang daripada landasan agama tanpa berusaha memberikan bimbingan dan didikan. Dia perlu menjadi contoh melalui akhlak yang terpuji kerana kepimpinan sejati bermula daripada teladan diri sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya… dan seorang lelaki dalam keluarganya adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas pimpinannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kepimpinan sejati tidak terbina hanya melalui kata-kata dan arahan. Sebaliknya, seorang lelaki yang bergelar qawwam perlu membuktikan kepimpinannya melalui tingkah laku dan perbuatan.
Jika dia menginginkan sebuah keluarga yang sentiasa mematuhi syariat, dialah yang perlu terlebih dahulu mentaati perintah Allah SWT.
Jika dia mendambakan anak-anak yang menghormati orang tua, dialah yang perlu terlebih dahulu menunjukkan teladan dengan memuliakan isterinya.
Lelaki yang memimpin dengan iman akan membimbing keluarganya menuju keredaan Allah SWT, manakala lelaki yang menyayangi dengan ihsan akan memastikan setiap ahli keluarganya merasai kasih sayang melalui layanan yang baik, pengorbanan dan akhlak terpuji.
Bilal bin Rabah, keteguhan iman mengatasi keseksaan

BILAL bin Rabah RA merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dengan keteguhan iman dan kesabarannya dalam mempertahankan akidah Islam.
Beliau berasal dari Habsyah dan merupakan seorang hamba berkulit hitam yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Namun, kemuliaan Bilal bukan terletak pada keturunan, warna kulit atau kedudukannya, sebaliknya pada keimanan yang teguh kepada Allah SWT.
Apabila Islam mula tersebar di Mekah, Bilal merupakan antara individu terawal yang memeluk agama Islam.
Keputusannya menerima Islam menimbulkan kemarahan tuannya, Umayyah bin Khalaf, seorang pembesar Quraisy yang amat memusuhi Rasulullah SAW.
Bilal dipaksa meninggalkan Islam dan kembali menyembah berhala. Beliau diseksa dengan kejam, apabila dibaringkan di atas pasir yang panas Terik sebelum diletakkan batu besar di atas dadanya.
Walaupun menanggung kesakitan yang amat dahsyat, Bilal tetap teguh mempertahankan keimanannya dengan menyebut, “Ahad, Ahad”, yang bermaksud Allah Yang Maha Esa.
Ungkapan tersebut menjadi lambang keteguhan tauhid Bilal. Beliau tidak sanggup menggadaikan keimanannya walaupun nyawanya menjadi taruhan.
Akhirnya, Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA membeli dan membebaskan Bilal daripada perhambaan.
Selepas dibebaskan, Bilal terus berjuang bersama Rasulullah SAW. Beliau menerima penghormatan besar apabila dipilih sebagai muazin pertama dalam sejarah Islam.
Suaranya yang mengalunkan azan menjadi seruan kepada umat Islam untuk menunaikan solat dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Kisah Bilal bin Rabah mengajar kita bahawa iman bukan sekadar pengakuan melalui kata-kata, tetapi perlu dibuktikan melalui kesabaran, pengorbanan dan keteguhan hati.
Sesungguhnya, kemuliaan seseorang manusia tidak ditentukan oleh rupa paras, warna kulit atau darjat, sebaliknya oleh ketakwaannya kepada Allah SWT.
Oleh Hanzalah Azman





