LAWAS, 26 November: Pekan Trusan dijangka mengalami transformasi pembangunan apabila kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melaksanakan pelbagai projek bagi membangunkan kawasan itu sebagai sebuah bandar satelit.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, usaha pembangunan Trusan telah dirancang teliti yang merangkumi perancangan pusat ekonomi, pertanian, logistik dan penempatan yang lebih tersusun.
Beliau berkata, potensi pembangunan Pekan Trusan turut didorong oleh kedudukannya yang strategik, iaitu berhampiran tapak Lapangan Terbang Baharu Lawas serta berada dalam lingkungan jajaran Lebuh Raya Pesisir Utara Sarawak (NCH) yang menghubungkan Miri melalui Brunei.
“ Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) turut melaksanakan projek perumahan mampu milik menerusi Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Trusan bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk setempat,” katanya pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan dan Pelancaran Projek Pembangunan Semula Trusan Bazaar semalam.
Beliau memberitahu Trusan juga bakal dibangunkan sebagai hab logistik untuk perdagangan rentas sempadan dengan negara Brunei.
“Di manakah lagi lokasi yang paling hampir dengan negara Brunei kalau bukan Trusan? Kita akan menjadikan Trusan sebagai hab logistik bagi kenderaan pengangkutan berat sebelum memasuki Lawas melalui Brunei,” katanya.
Ini juga akan menjadikan Trusan sebagai pelabuhan darat terbesar di utara Sarawak bagi barangan dagangan import dan eksport yang memasuki Brunei dan ketibaan daripada Brunei.
Selain kedudukannya yang strategik, Trusan juga mempunyai tanah yang subur untuk aktiviti pertanian serta potensi ekonomi yang luas dalam menarik pelaburan ke Lawas.
Bagaimanapun, beliau berkata, segala perancangan pembangunan itu hanya akan tinggal sebagai cadangan sekiranya rakyat tidak memberikan sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan kerajaan GPS.
Menurutnya, kesinambungan agenda pembangunan di Trusan, Lawas dan Sarawak secara keseluruhannya boleh terjejas sekiranya kerajaan sedia ada tidak diberi mandat untuk meneruskan perancangan berkenaan.
Beliau turut mendakwa pihak pembangkang tidak mempunyai perancangan dan keupayaan untuk meneruskan agenda pembangunan tersebut.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengurus Besar LCDA Datu Sr Zaidi Mahdi dan kenamaan lainnya.
Oleh Adeng Edrus




