Muhyiddin tahu RM25.3 juta dimasuk ke akaun Bersatu bukan sumber dana sah – Pendakwaan

Facebook
WhatsApp
BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi pendengaran hujahan akhir atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 November: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetahui wang berjumlah RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu bukan daripada sumber dana yang sah.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata Muhyiddin sebagai pemegang amanah dan penandatangan yang diberi kuasa bagi akaun parti politik itu, sepatutnya menyemak kekerapan transaksi kemasukan wang ke dalam dua akaun bank Bersatu.

“Sebagai Presiden Bersatu dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, penandatangan diberi kuasa bagi akaun-akaun Bersatu serta pemegang akaun amanah akaun-akaun Bersatu, tertuduh mempunyai tanggungjawab untuk bertindak secara berhemat bagi memastikan wang RM25.3 juta yang masuk ke dalam akaun Bersatu bukan hasil daripada aktiviti rasuah dan salah guna kuasa.

“Tertuduh bukan sekadar boneka dalam Bersatu. Namun, dalam kes ini, tertuduh sengaja menutup mata terhadap perkara yang jelas, sekiranya tertuduh mengambil sedikit usaha untuk mengetahui sumber wang tersebut. Tertuduh juga bukan ahli biasa Bersatu, malah beliau mempunyai kawalan dan akses langsung kepada akaun-akaun Bersatu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pendengaran hujahan akhir kes pendakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu yang didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin.

Pada prosiding hari ini, Muhyiddin diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Chetan Jethwani.

Wan Shaharuddin berkata Muhyiddin bertindak bertentangan dengan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika berada di Tropicana Golf Club, Damansara, apabila saksi pendakwaan ke-27 (SP27) iaitu Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd Datuk Seri Azman Yusoff, bertanyakan mengenai projek untuk kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Tertuduh ada menyatakan secara spontan kepada SP27 semasa di Tropicana Golf Club, jika terdapat ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia ataupun kontraktor ingin membuat sumbangan, boleh menyumbang terus kepada Bersatu.

“Ini jelas menunjukkan keterangan mengenai kecenderungan tertuduh untuk memberi manfaat kepada sekutunya iaitu Bersatu, yang boleh diambil kira oleh mahkamah sebagai kelakuan terdahulu tertuduh yang relevan.

“Tindakan tertuduh membuka jalan membantu dengan memudahkan KCJ Engineering, Nepturis Sdn Bhd dan Sutracom memasuki proses penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan diketuai saksi pendakwaan ke- 25, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff, dilakukan untuk kepentingan sekutu tertuduh iaitu Bersatu,” katanya.

Wan Shaharuddin berhujah SP27 (Azman) tidak akan meminta saksi pendakwaan ke-20, Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd Shahradzi Shamsuddin dan saksi pendakwaan ke-21, pengasas Nepturis Sdn Bhd Lian Tan Chuan, membuat sumbangan kepada Bersatu jika bukan kerana permintaan Muhyiddin kepada SP27 berhubung sumbangan daripada ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia atau kontraktor kepada parti itu.

“Walaupun isu sama ada wang RM25.3 juta itu suatu sumbangan berbentuk bona fide atau tidak, bukan menjadi isu pokok bagi pertuduhan dihadapi tertuduh, paling tidak kami (pihak pendakwaan) telah mematahkan salah satu pembelaan tertuduh iaitu wang RM25.3 juta tersebut adalah sumbangan semata-mata,” katanya.

Hakim Noor Ruwena kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk hujahan balas pihak pembelaan.

Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 15 September lepas, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd. – Bernama