Anyi Jana tetap pertahan DUN Ngemah sebagai calon Bebas

Facebook
WhatsApp
ANYI Jana bersama penyokongnya pada perjumpaan tersebut.

KANOWIT, 26 November: Keputusan tidak dicalonkan semula oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menghalang Anyi Jana daripada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai calon Bebas.

Anyi, 64, berkata beliau akan bertanding sebagai calon Bebas yang mesra GPS selepas mengambil keputusan meninggalkan Parti Rakyat Sarawak (PRS), termasuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Cawangan PRS Ngemah.

“Saya mengambil keputusan ini selepas berbincang dan mendapatkan pandangan daripada penyokong yang turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan tertinggi parti,” katanya ketika mengumumkan keputusan itu pada perjumpaan bersama kira-kira 200 penyokong di kediamannya di Lorong Dabai, Kampung Muhibbah di sini, hari ini.

Beliau turut mendakwa lebih 1,000 ahli cawangan PRS Ngemah akan meninggalkan parti itu susulan perkembangan berkenaan.

Anyi berkata, kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden PRS, Datuk Seri John Sikie Tayai, menjadi antara faktor utama yang mendorong keputusannya untuk keluar daripada parti.

“Saya sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri John Sikie Tayai sebagai Presiden PRS,” katanya.

Menurutnya, beliau juga kecewa kerana digugurkan sebagai calon bagi DUN Ngemah tanpa sebarang inisiatif daripada kepimpinan parti untuk memaklumkan keputusan itu atau memanggilnya menghadiri pertemuan.

“Saya digugurkan sebagai calon bagi DUN Ngemah pada PRN ke-13 tanpa sebarang usaha daripada kepimpinan PRS untuk memaklumkan perkara itu kepada saya atau memanggil saya untuk mengadakan pertemuan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan amalan demokrasi dalam PRS berdasarkan pengalamannya bertanding merebut jawatan Majlis Tertinggi pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu pada 2025.

Katanya, keputusan untuk bertanding dalam pemilihan tersebut dilihat sebagai tindakan yang bertentangan dengan kepimpinan presiden parti.

“Terdapat beberapa rakaman video ucapan terbuka seorang pemimpin kanan PRS yang menyatakan saya digugurkan sebagai calon kerana tidak menghormati presiden parti semasa TDC 2025,” katanya.

Bagaimanapun, Anyi menegaskan keputusan meninggalkan PRS tidak bermakna sokongannya terhadap Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut berakhir.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih menyokong kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari sebagai Premier Sarawak dan Pengerusi GPS,” katanya.

Beliau turut mendakwa ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin masyarakat dan penduduk terhadap kepimpinan tertinggi parti menjadi satu lagi faktor yang mendorong keputusan berkenaan.

Semalam, Abang Johari mengumumkan Alexander Donald sebagai calon GPS bagi DUN Ngemah, menggantikan Anyi pada PRN Sarawak ke-13.

Pada PRN Sarawak ke-12, Anyi berjaya mempertahankan kerusi Ngemah dengan majoriti 261 undi selepas memperoleh 3,193 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Pencabar terdekatnya ketika itu ialah mendiang Dr Joseph Jawa Kendawang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 2,932 undi.

Oleh Tarani Lanting