Naik taraf sistem lama, pengesahan API penting perkukuh pertahanan siber – PTPKM

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Fahmi Fadzil melawat reruai pameran selepas merasmikan NEXSEC 2026: Memperkasa Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia MITEC semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 November: Kelewatan menaik taraf teknologi, konfigurasi sistem legasi dan antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang tidak dilengkapi pengesahan kriptografi antara faktor utama mendorong berlakunya kelemahan keselamatan siber di seluruh dunia, kata Pengarah Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) Datuk Profesor Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin.

Beliau berkata organisasi sering menangguhkan usaha menaik taraf perkakasan, perisian dan tetapan sistem sedia ada bagi menjimatkan kos, sekali gus menyebabkan sistem terdedah kepada ancaman eksploitasi.

Muhammad Rezal berkata API yang berfungsi memproses arahan antara sistem memerlukan elemen kriptografi seperti tandatangan digital bagi memastikan setiap arahan diterima daripada sumber yang sah dan dibenarkan.

“Satu elemen yang sering berlaku kalau kita baca laporan media ialah penggunaan peralatan dan peranti lama yang masih menggunakan tetapan kata laluan serta konfigurasi akses versi lama. Jadi perkara ini mewujudkan kerentanan dalam keseluruhan sistem.

“Kalau beli barang baru pun, terdapat sesuatu yang dikenali sebagai API. Ini adalah pustaka yang menerima arahan untuk melaksanakan satu lagi arahan. API itu sebenarnya kena ada unsur kriptografi untuk mengesahkan arahan yang diterima adalah daripada individu yang diberi kuasa, dan perkara itu boleh dilakukan menerusi kaedah kriptografi yang dikenali sebagai tandatangan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual selepas menyampaikan pembentangan bertajuk “Post-Quantum Cryptography in Practice – Migration Strategies for Secure Communications” pada NEXSEC 2026: Memperkasakan Ketahanan Siber Melalui Kolaborasi, Inovasi dan Pembangunan Kompetensi di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Muhammad Rezal berkata selain kekangan teknikal, faktor kos turut sering mempengaruhi tempoh diambil organisasi untuk menaik taraf sistem masing-masing, sambil menambah PTPKM turut menterjemahkan konsep yang kompleks dan menyediakan contoh asas bagi membantu pemain industri menyesuaikan dan mengaplikasikannya dengan lebih mudah.

Bagi syarikat yang beroperasi dengan peruntukan kewangan yang terhad, beliau menyarankan agar proses peralihan kepada Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC) dimulakan pada lapisan bahagian hadapan (front-end) yang berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, menerusi penggunaan TLS 1.3, iaitu protokol keselamatan yang menyulitkan data ketika dihantar antara peranti pengguna dengan laman web atau perkhidmatan.

Beliau bagaimanapun berkata usaha menaik taraf secara menyeluruh yang melibatkan sistem bahagian belakang (back-end) serta vendor pihak ketiga memerlukan kos pelaburan yang jauh lebih besar.

Sementara itu, Muhammad Rezal berkata meskipun Malaysia merupakan satu daripada dua negara, selain Lithuania, yang berada dalam Tier 1 berdasarkan penilaian sebuah firma perunding berhubung usaha menterjemahkan dasar peralihan PQC kepada tindakan konkrit, usaha berterusan diperlukan untuk mengekalkan kedudukan itu.

“Laporan rumusan itu adalah Malaysia antara negara yang telah berjaya menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan dan tindakan sebenar. Ada beberapa aspek yang diperiksa, namun rumusan akhir penilaian itu mendapati Malaysia merupakan antara dua negara yang berjaya menterjemahkan dasar kepada tindakan sebenar, berbanding negara lain mungkin mempunyai dasar yang ditetapkan tetapi belum melaksanakannya.

“Namun, tidak boleh beranggapan bahawa Malaysia akan kekal dalam Tier 1 selama-lamanya kerana kedudukan itu tidak semestinya terjamin,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan satu-satunya negara ASEAN yang memperoleh penarafan tertinggi, Tier 1, dari segi kesiapsiagaan peralihan kepada PQC, berdasarkan laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10 yang diterbitkan pada 1 Sept.

Laporan berkenaan diterbitkan oleh SITG-Consulting, sebuah firma perunding yang berpangkalan di United Kingdom dan mengkhusus dalam bidang risiko siber, tadbir urus kriptografi, daya tahan organisasi serta kesiapsiagaan peralihan kepada PQC.

Laporan itu meletakkan Brunei, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam Tier 2, Filipina (Tier 3), Laos (Tier 4) manakala Myanmar berada dalam Tier 5. 

Muhammad Rezal turut menggesa golongan muda supaya meningkatkan kemahiran dalam bidang kriptanalisis dan menyumbang kepada usaha mempertingkat daya tahan siber negara, selaras dengan inisiatif kerajaan dan industri menerusi pelan hala tuju peralihan PQC negara, iaitu Pelan Migrasi PQC Kebangsaan (2025-2030).

“Lengkapkan diri dengan kemahiran yang bersesuaian agar dapat mengenal pasti kelemahan dalam algoritma. Negara lain terdapat kumpulan-kumpulan yang bergerak secara sukarela, hal ini kerana mahu terlibat dengan memastikan negara selamat.

“Jadi, pada masa lapang, mungkin mereka mempunyai peralatan atau kemudahan berasaskan AI, mereka memiliki kemahiran tertentu dalam bidang pengaturcaraan dan dia akan laporkan, kami telah jumpa benda ni tidak selamat dan sebagainya. Jadi, mereka boleh banyak membantu,” katanya.

Muhammad Rezal berkata individu sedemikian wajar diberikan peluang dan dibayar setimpal dengan sumbangan mereka, di samping menegaskan hasil kerja mereka perlu diberikan ganjaran sewajarnya. – Bernama

MySP AI bantu kesan perubahan emosi pelajar

KUALA KANGSAR, 26 November: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem MySP AI menawarkan pendekatan baharu bagi membantu pihak sekolah mengenal