Empurau ‘Raja Sungai’: Dari Batang Rajang ke pasaran eksklusif

Facebook
WhatsApp
PEMILIK Syarikat Utama Agency dan Wild River Fish of Sarawak, Jeferry Siew Seng Kwong menunjukkan deretan ikan empurau yang dibalut kemas sebelum dipasarkan kepada restoran dan individu dari dalam dan luar negara ketika tinjauan di sekitar Sibu hari ini.

SIBU, 26 November: Kehadiran seekor empurau seberat lebih 12 kilogram di premis pembekal ikan liar Sarawak, Jeferry Siew Seng Kwong, di sini menyerlahkan kedudukan spesies itu bukan sekadar hasil sungai biasa, sebaliknya komoditi mewah bernilai puluhan ribu ringgit.

Dikenali dengan nama saintifik Tor tambroides, ikan yang mampu mencecah harga RM2,000 hingga RM2,500 sekilogram di pasaran antarabangsa itu terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kulinari eksklusif.

Spesies ikonik berkenaan menjadi buruan pengusaha restoran mewah, pemborong serta golongan berada di Hong Kong, China dan Singapura, selain pasaran di Semenanjung Malaysia, termasuk Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.

Di sebalik harganya yang luar biasa, perjalanan ikan yang digelar ‘Raja Sungai’ itu bermula jauh di kawasan hulu sungai di pedalaman sebelum melalui rantaian bekalan melibatkan nelayan, pembekal dan perkhidmatan pengangkutan udara untuk sampai ke meja hidangan pelanggan.

Bagi Jeferry, 41, perniagaan itu bukan sekadar mengejar keuntungan menerusi perdagangan ikan eksotik, sebaliknya turut memastikan jerih payah nelayan tempatan mendapat ganjaran yang setimpal.

“Empurau ini ada keunikan tersendiri dengan isi bertekstur halus, lembut dan manis serta bahagian perut berlemak, manakala aroma istimewanya terhasil daripada diet semula jadi kerana ia hanya memakan buah hutan liar seperti engkabang dan ensurai.

“Seekor ikan bersaiz besar boleh mencecah puluhan ribu ringgit, malah mampu membeli sebuah kereta terpakai, bergantung pada berat dan pasaran,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata keistimewaan empurau yang mendiami kawasan hulu sungai berarus deras itu turut terletak pada tempoh tumbesarannya yang boleh mengambil masa lebih 10 tahun.

Bekalan ikan segar diperoleh terus daripada nelayan di kawasan pedalaman seperti Ulu Kapit dan Baleh, dengan lembangan Batang Rajang yang panjangnya hampir 600 kilometer kekal sebagai lubuk utama pelbagai spesies ikan air tawar bernilai tinggi.

Jalinan kerjasama erat dengan nelayan tempatan, antaranya Leanard Anak Lenggie dan Gamas Iban dari Kapit, menjadi tunjang kelancaran operasi perniagaannya yang memerlukan tindakan pantas sebaik sahaja hasil tangkapan didaratkan.

Menurut Jeferry, dalam perdagangan ikan liar, ketepatan masa amat penting bagi memastikan kesegaran dan mutu ikan sentiasa terpelihara.

Beliau berkata permintaan terhadap spesies premium itu lazimnya melonjak menjelang musim perayaan seperti Krismas dan Tahun Baharu Cina untuk dijadikan hidangan istimewa dalam majlis keraian dan jamuan keluarga.

Selain empurau, premis perniagaannya yang terletak di Jalan Long Bridge turut membekalkan pelbagai spesies hidupan air tawar, termasuk patin buah, tapah, jelawat, semah, tengadak, terubuk, sebarau, udang galah, ketutu dan baung.

Kepelbagaian bekalan itu membolehkan beliau memenuhi cita rasa dan kemampuan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mengurangkan kebergantungan perniagaannya pada empurau semata-mata.

Mengulas mengenai urusan penghantaran ke luar Sarawak, Jeferry berkata penggunaan perkhidmatan pengangkutan udara bagi menjamin kesegaran ikan turut mempengaruhi harga jualan, selain penghantaran berkenaan memerlukan permit, dokumen veterinar dan pengisytiharan penghantaran.

Pengalamannya dalam mengendalikan perniagaan penghantaran serta urusan import dan eksport turut menjadi kelebihan dalam pengurusan dokumentasi dan penyelarasan logistik bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, anak jati Sibu yang akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek itu berharap wakil rakyat bakal dipilih memberikan perhatian sewajarnya terhadap potensi sektor perikanan sungai, khususnya spesies bernilai tinggi seperti empurau, sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata sokongan berterusan dari segi penyediaan infrastruktur, kemudahan asas dan akses pasaran amat penting bagi memastikan hasil sungai Sarawak terus memberikan manfaat yang lebih besar kepada komuniti nelayan serta merancakkan ekonomi kawasan pedalaman.

“Saya percaya usaha perkukuhkan akses pasaran, kemudahan pengangkutan serta jaringan pengusaha dan pembekal juga berpotensi membantu sektor ini berkembang, sekali gus hasil sungai Sarawak ini terus mendapat tempat dalam pasaran premium domestik mahupun antarabangsa,” katanya.

Bukit Assek ialah satu daripada dua DUN dalam kawasan Parlimen Lanang, selain Dudong, yang terlibat dalam PRN Sarawak ke-13.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini  sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.- Bernama