KUCHING, 25 November: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini sentiasa terpelihara.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak menerima kunjungan hormat delegasi MKN Negeri Sarawak yang diketuai Pengarah Keselamatan Negeri, Mohammad Haffizie Putit di Bilik Tetamu Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.
Delegasi berkenaan turut disertai Penolong Pengarah (Awam), Mohammed Raffiq Zainal Abidin dan Penolong Pengarah (Tentera), Mejar Mulyadi Abdul Wahid.

Pertemuan itu menjadi platform untuk memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi, khususnya dalam penyelarasan tugas serta perkongsian pandangan berkaitan aspek keselamatan negeri.
Kerjasama berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kesiapsiagaan agensi dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan demi menjamin kesejahteraan masyarakat.
Turut hadir Ketua Cawangan Khas Sarawak, SAC Mahbub Mustofa Norsalim; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Kumarasan Muniandy dan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sarawak, SAC Ku Mashariman Ku Mahmood.




