Tanjung Sepang di Santubong dipilih lokasi jeti kapal persiaran antarabangsa – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari berucap pada program Sarawakku Sayang (SKS) Kuching di Metro City.

PETRA JAYA, 25 November: Tanjung Sepang di kawasan Santubong dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan jeti kapal persiaran bagi membuka laluan kemasukan pelancong antarabangsa ke Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat kapal persiaran Royal Caribbean dari Singapura telah menghantar pasukan untuk meninjau laluan pelayaran dari Singapura ke Kuching.

“Terdapat cadangan supaya laluan itu diteruskan ke Bali, selain satu lagi laluan dari Singapura ke Kuching dan seterusnya ke Kota Kinabalu.

“Tanjung Sepang dipilih kerana kawasan perairannya mempunyai kedalaman semula jadi sehingga 16 meter, sekali gus mengelakkan keperluan kerja pengorekan dasar laut yang melibatkan kos tinggi.

“Jeti berkenaan akan dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam sebelum dihubungkan ke Damai menerusi pembinaan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Sarawakku Sayang (SKS) Kuching di Metro City, di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, muara Sungai Santubong mempunyai perairan cetek, justeru pembinaan jeti di kawasan itu memerlukan kerja pengorekan dasar laut.

“Penggunaan kawasan perairan lebih dalam di Tanjung Sepang membolehkan pembangunan jeti dilaksanakan tanpa keperluan pengorekan berkenaan.

“Kapal persiaran lazimnya berada di sesuatu destinasi selama sehari sebelum meneruskan pelayaran pada waktu malam.

“Tempoh persinggahan itu membolehkan pelancong mengunjungi beberapa lokasi tarikan termasuk Damai, Kampung Budaya Sarawak dan bandar raya Kuching,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Jalan Santubong dan Jalan Sultan Tengah akan dinaik taraf kepada jalan dua lorong berkembar bagi meningkatkan akses ke kawasan Damai.

Katanya, projek berkenaan kini dalam proses tender pembinaan dan kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan.

Dalam ucapan perasmian program berkenaan, Abang Johari berkata, pembangunan kemudahan pelancongan di Damai merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh daya tarikan Kuching sebagai destinasi pelancongan.

Tambahnya, pembangunan infrastruktur di kawasan Kuching turut merangkumi usaha meningkatkan kemudahan perhubungan serta memperluas tarikan pelancongan di kawasan pesisir.

Oleh Masrin Affirah