KUCHING, 25 November: DAP Sarawak akan menggunakan autonominya untuk menentukan langkah terbaik bagi negeri itu dan kekal komited memperkukuh peranan pembangkang dalam memastikan wujud semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menarik diri daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menjadikan penyertaan DAP lebih penting bagi memastikan pembangkang terus memainkan peranannya di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Pilihan raya tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang menggugat kestabilan masyarakat demokratik, sebaliknya sebagai bahagian penting dalam usaha memperkukuh semak dan imbang,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.
DAP memuktamadkan senarai calon bagi 12 kerusi pada PRN akan datang, iaitu Kota Sentosa, Batu Lintang, Padungan, Pending, Batu Kitang, Batu Kawa, Opar, Tanjong Batu, Pujut, Bukit Assek, Pelawan dan Meradong.
Antara calon yang diketengahkan ialah Chong, yang kembali bertanding di Kota Sentosa selepas mewakili kawasan itu dari 2006 hingga 2021, serta Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Yuen, yang akan bertanding di Batu Lintang.
Penyandang kerusi DUN Pending, Violet Yong Wui Wui, turut dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu.
Oleh Connie Chieng





