PETRA JAYA, 25 November: Mewujudkan peluang ekonomi yang lebih mampan serta meneruskan usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya luar bandar menjadi antara keutamaan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.77 Telang Usan, Dennis Ngau, sekiranya diberi mandat untuk penggal keempat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Berusia 58 tahun, Dennis yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai pengalaman selama tiga penggal sebagai wakil rakyat sejak pertama kali memenangi kerusi berkenaan pada 2011.
Beliau berkata, pembangunan kawasan pedalaman seperti Telang Usan memerlukan pendekatan berbeza berbanding kawasan bandar kerana keluasan kawasan, kedudukan kampung yang berjauhan serta cabaran penyelenggaraan infrastruktur.
Menurutnya, pengalaman selama tiga penggal banyak membantunya memahami keperluan penduduk dan kaedah menyelaras pembangunan di kawasan yang mempunyai 88 kampung.
Katanya, antara cabaran utama ialah penyelenggaraan kira-kira 1,000 kilometer jalan bekas pembalakan yang menjadi laluan penghubung kepada kampung-kampung di kawasan berkenaan.
“Jalan di kawasan saya yang menghubungkan 88 kampung semuanya merupakan bekas jalan pembalakan. Kita mempunyai kira-kira 1,000 kilometer jalan seperti itu yang perlu dibaiki berulang kali.
“Apabila dibaiki hari ini, jalannya mungkin sudah licin dan cantik, tetapi apabila hujan pada malamnya, ia boleh rosak semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Beliau menjelaskan, keadaan itu menyebabkan kerja membaiki jalan di Telang Usan perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan perancangan serta penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Malah, beliau berkata, keadaan jalan yang sering rosak perlu dilihat berdasarkan cabaran geografi dan keadaan fizikal laluan bekas pembalakan, bukan semata-mata berdasarkan gambar atau video kerosakan yang tular di media sosial.
Selain infrastruktur, Dennis berkata, beliau mahu memperluas peluang ekonomi penduduk dengan menarik pelaburan yang mampu menyediakan sumber pendapatan dan pekerjaan lebih stabil, khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Katanya, perubahan landskap industri pembalakan menyebabkan ramai penduduk yang sebelum ini bergantung kepada pekerjaan dalam sektor berkenaan kembali mengusahakan tanaman kelapa sawit dan tanaman kontan sebagai sumber pendapatan.
Sehubungan itu, beliau sedang mengusahakan cadangan pembangunan sebuah ladang solar bersepadu berskala besar berhampiran Long Lama menerusi kerjasama dengan pelabur swasta.
“Projek itu berpotensi menyediakan banyak peluang pekerjaan dan sudah tentu membuka peluang ekonomi kepada penduduk kita.
“Saya sudah lama mempunyai perancangan ini, tetapi perkara seperti ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera kerana ia merupakan satu perjalanan yang panjang,” katanya.
Beliau yakin usaha membawa pelaburan baharu itu dapat membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada masyarakat setempat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam pada itu, Dennis berkata, pengalaman sebagai wakil rakyat juga mengajarnya bahawa pembangunan di kawasan pedalaman memerlukan hubungan kerja yang baik dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan bagi memastikan keperluan penduduk dapat diberi perhatian.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara masyarakat berbilang kaum di Telang Usan, yang disifatkannya sebagai antara perkembangan positif sepanjang tiga penggal menjadi wakil rakyat.
Katanya, perpaduan dalam kalangan penduduk perlu terus dipelihara bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.
Beliau turut menegaskan prinsipnya sebagai wakil rakyat adalah untuk bekerja berdasarkan kemampuan sebenar, bersikap jujur terhadap permintaan penduduk dan tidak memberikan janji yang tidak mampu ditunaikan.
“Selagi kita bekerja dan memberikan yang terbaik, apa yang boleh kita lakukan, kita katakan boleh. Apa yang tidak dapat dilakukan, kita perlu berterus terang bahawa ia tidak boleh. Jangan berpura-pura,” katanya.
Dennis turut berharap penduduk Telang Usan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi membolehkan agenda pembangunan kerajaan untuk tempoh lima tahun akan datang turut memberi manfaat kepada kawasan pedalaman.
Oleh Afiq Sallehi



