Wajah Baharu GPS: Dr Dayang Nurfizawati (N.16 Muara Tuang)

Facebook
WhatsApp
WAJAH baharu GPS, Dr Dayang Nurfizawati (N.16 Muara Tuang).

PETRA JAYA, 25 November: Berbekalkan kelulusan akademik dalam bidang perniagaan, kejuruteraan serta pengalaman dalam pentadbiran politik sejak 2017, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, 51, tampil sebagai calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Muara Tuang.

Beliau memiliki Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan dari Australia Barat.

Dr Dayang Nurfizawati berkata, beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jawatan yang disandang sejak 2017.

Pengalaman itu turut memberinya pendedahan dalam menyampaikan maklumat mengenai inisiatif kerajaan negeri kepada masyarakat menerusi tugasan turun padang.

Mengulas pencalonannya, beliau mengakui berasa teruja namun menyedari cabaran yang menanti sebagai calon baharu di kawasan berkenaan.

Menyentuh harapannya untuk Muara Tuang, beliau berkata, keutamaan adalah meneruskan legasi pembangunan yang telah dilaksanakan penyandang kerusi itu, Datuk Idris Buang.

“Saya berterima kasih kepada penyandang, Datuk Idris Buang kerana beliau telah banyak melakukan pembangunan di kawasan ini.

“Saya berharap dapat meneruskan legasi beliau kerana walaupun sesebuah kawasan sudah membangun, masih ada ruang untuk kita melakukan sesuatu dan memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Tanbah beliau, usaha mengenal pasti keperluan penduduk di peringkat akar umbi akan menjadi antara perkara yang diberi perhatian bagi memastikan pembangunan seterusnya dapat dilaksanakan.

“Stidak mahu mengambil mudah tanggungjawab tersebut dan akan bekerja keras serta ikhlas dalam melaksanakan amanah sekiranya diberikan mandat,” ujarnya.

Untuk rekod, kerusi DUN N.16 Muara Tuang sebelum ini disandang Datuk Idris Buang yang mula dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu pada PRN Sarawak 2016 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Beliau mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sarawak 2021 sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus berkhidmat selama dua penggal sebelum GPS mempertaruhkan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim sebagai calon muka baharu pada PRN-13.

Oleh Masrin Affirah