William Mawan, Abang Johari, Lee Kim Shin dan John Sikie antara calon paling senior GPS

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 25 November: Tan Sri William Mawan Ikom muncul sebagai calon paling berusia dalam barisan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, diikuti Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Dato Sri Lee Kim Shin dan Dato Sri John Sikie Tayai.

Mawan, yang bakal berusia 77 tahun pada 1 Disember ini, merupakan calon GPS bagi kerusi DUN N47 Pakan. Sementara itu, Abang Johari, Lee dan John Sikie masing-masing berusia 76 tahun.

Keempat-empat pemimpin berkenaan mempunyai latar belakang dan perjalanan politik yang panjang, dengan sebahagian daripada mereka telah berkhidmat sebagai wakil rakyat selama lebih tiga dekad.

Kehadiran mereka dalam senarai calon GPS kali ini turut memperlihatkan penyertaan pemimpin berpengalaman bersama muka baharu yang diketengahkan gabungan itu bagi menghadapi PRN kali ini.

Mawan, yang dilahirkan pada 1 Disember 1949, mempunyai pengalaman politik lebih tiga dekad sejak mula memenangi kerusi DUN Pakan pada 1991.

Beliau memulakan perjalanan politiknya bersama Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum menjadi Presiden pengasas Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada 2013, Mawan meninggalkan SPDP dan menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) sebelum menyertai PBB pada 2016.

Sepanjang penglibatannya dalam pentadbiran negeri, beliau pernah memegang jawatan Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak dari 2008 hingga 2016, selain pernah menjadi Ahli Parlimen Saratok dari 2013 hingga 2018.

Beliau kini turut berkhidmat sebagai Penasihat di Pejabat Premier Sarawak bagi Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah. 

Abang Johari pula mempunyai perjalanan politik hampir lima dekad selepas memulakan penglibatan dalam PBB sebagai Ketua Pemuda pada 1977.

Beliau pertama kali dipilih sebagai ADUN Satok pada 1981 dan terus mewakili kawasan itu selama sembilan penggal berturut-turut sebelum berpindah ke DUN Gedong pada PRN 2021.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang beberapa portfolio penting dalam Kabinet Sarawak termasuk Menteri Pembangunan Perindustrian, Menteri Pelancongan serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar.

Pada 2016, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri sebelum mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri keenam pada 13 Januari 2017, susulan pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Gelaran Ketua Menteri kemudiannya ditukar kepada Premier Sarawak pada 2022. Kini, beliau turut memegang jawatan Presiden PBB dan Pengerusi GPS. 

Sementara itu, Lee Kim Shin yang dilahirkan di Miri pada 28 Februari 1950, mula aktif dalam politik pada 1992 menerusi SUPP apabila memegang jawatan Naib Pengerusi SUPP Cawangan Miri dan Pengerusi SUPP Cawangan Pujut-Lutong.

Beliau turut pernah menjadi Pengerusi Pemuda SUPP Sarawak selama dua penggal dari 1996 hingga 2002 sebelum dipilih sebagai ADUN Senadin buat pertama kali pada 1996.

Sejak itu, Lee terus mempertahankan kerusi berkenaan dalam setiap pilihan raya negeri dan kini merupakan antara pemimpin kanan SUPP.

Dalam pentadbiran negeri, beliau pernah memegang beberapa jawatan Menteri Muda termasuk portfolio Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi serta Komunikasi dan Sukan sebelum dilantik sebagai Menteri Pengangkutan Sarawak pada 2019.

John Sikie Tayai pula mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan sebelum menceburi politik, termasuk pernah berkhidmat sebagai guru besar di kawasan Tatau.

Beliau mula dipilih sebagai ADUN Kakus pada 1991 menerusi PBDS sebelum menyertai PRS pada 2004.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau memegang beberapa jawatan dalam kepimpinan PRS termasuk Naib Presiden dan Naib Presiden Kanan sebelum dipilih sebagai Presiden PRS bagi penggal 2025 hingga 2028.

Dalam pentadbiran negeri, beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri sebelum dilantik sebagai Menteri di Jabatan Premier Sarawak pada 2022. 

Untuk rekod, John Sikie berusia 76 tahun ketika ini dan telah memenangi tujuh pilihan raya negeri sejak 1991, sekali gus bakal memasuki penggal kelapan sekiranya berjaya mempertahankan kerusi Kakus pada PRN kali ini. 

Kehadiran empat pemimpin berpengalaman itu dalam senarai calon GPS memperlihatkan kesinambungan penyertaan tokoh lama dalam barisan kepimpinan gabungan berkenaan, di samping penampilan 11 muka baharu yang turut diketengahkan bagi PRN Sarawak Ke-13.

Gabungan pengalaman politik dan penyertaan calon baharu itu menjadi antara ciri yang dapat diperhatikan dalam pembentukan barisan calon GPS kali ini.

Oleh Afiq Sallehi