“PRS sedia lawan cabaran sensasi PBDS” – John Sikie

Facebook
WhatsApp
DATUK John Sikie Tayai ketika ditemui pemberita pada Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 25 November: Parti Rakyat Sarawak (PRS) bersedia menghadapi cabaran Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) susulan hasrat presidennya untuk menentang Presiden PRS, Datuk John Sikie Tayai di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

John Sikie berkata, beliau sudah mendengar ura-ura mengenai hasrat Presiden PBDS untuk menentangnya sejak kira-kira sebulan lalu.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu perkembangan yang menarik perhatian, namun menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.

“Memang lama, sudah satu bulan saya dengar dia nak menentang saya.

“Itu memang demokrasi. Mana-mana kita boleh lawan. Kita akan lawan cabaran yang dia buat kepada kita. Kita cuba yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.

Untuk rekod, John Sikie berusia 76 tahun merupakan penyandang kerusi DUN Kakus sejak 1991 dan bakal memasuki penggal kelapan sekiranya terus mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN-13.

Beliau memenangi kerusi tersebut dalam tujuh pilihan raya negeri sebelum ini dan kini turut memegang jawatan Menteri di Jabatan Premier Sarawak serta Presiden PRS bagi penggal 2025 hingga 2028.

Oleh Masrin Affirah