Paip pecah di Jalan Mendu ganggu bekalan air sekitar Kuching

Facebook
WhatsApp
AIR dilihat memancut keluar dari paip yang pecah di kawasan kerja pembinaan di Jalan Mendu, Kuching.

KUCHING, 25 November: Kejadian paip pecah akibat kerja pihak ketiga di Jalan Mendu menyebabkan tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.

Dalam satu kenyataan, Sarawak Water Sdn Bhd memaklumkan bahawa kawasan yang terletak di lokasi tinggi serta premis komersial dan hotel di sekitar pusat bandar raya turut berkemungkinan terjejas.

Sebagai langkah segera, lori tangki air akan digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas bagi menyediakan bekalan air alternatif kepada pengguna yang memerlukan.

Sarawak Water berkata pasukan teknikalnya sedang memantau situasi berkenaan dengan rapi dan berusaha memulihkan bekalan air seperti biasa secepat mungkin.

Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pemulihan.

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa perkembangan terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Sarawak Water memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami serta menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna.

Bagi sebarang aduan dan pertanyaan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Sarawak Water di talian 1-300-88-2020.

Oleh Connie Chieng