Enam atlet pekak bawa cabaran Malaysia Deaflympics musim sejuk 2027

Facebook
WhatsApp
ENAM atlet pekak negara bakal membuat penampilan sulung Malaysia pada temasya Deaflympics Musim Sejuk 2027 di Innsbruck-Seefeld, Austria, dari 15 hingga 24 Januari depan dengan sukan catur sebagai taruhan untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.

KUALA LUMPUR, 24 November: Enam atlet pekak negara bakal membawa cabaran negara bagi menyertai temasya sukan Deaflympics musim sejuk 2027 di Innsbruck-Seefeld, Tirol, Austria dari 15 hingga 24 Januari depan.

Penampilan sulung itu menyaksikan Malaysia memilih sukan catur sebagai taruhan menerusi penyertaan dalam dua acara utama, iaitu Blitz individu serta Classical berpasukan, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Dr Ong Shin Ruenn berkata enam atlet yang dipilih ialah Leong Ee Hern, Loo Pin Xie, Ezwany Osman, Goh Sheng Wei, Yoshni Ramakrishnan dan Ainnur Asyikin Jupineh.

Beliau berkata pemilihan atlet dibuat berdasarkan prestasi mereka dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk 10th Asia Pacific Deaf Games 2024, 2nd SEA Deaf Games 2025 di Jakarta serta Asia Pacific Deaf Multi Sports Championships 2026 di Pulau Pinang.

“Sebetulnya temasya ini adalah yang pertama kita hantar wakil ke Deaflympics musim sejuk … justeru, kita tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga memberikan tekanan kepada atlet. 

“Bagaimanapun, kalau boleh indeks prestasi kita adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik daripada pelbagai negara yang bertanding,” katanya pada sidang media pengumuman penyertaan Malaysia ke Deaflympics musim sejuk 2027, di sini hari ini.

Mengulas persiapan pasukan, Ong berkata latihan sudah dimulakan sejak tahun lepas dan telah merancang mengadakan kem latihan berpusat di Kuala Lumpur selama seminggu sebelum berlepas ke Austria bagi memberikan tumpuan kepada persiapan akhir, khususnya aspek psikologi atlet.

Beliau berkata kerjasama turut dijalin dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu menyediakan sokongan psikologi memandangkan atlet negara perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan keadaan cuaca yang jauh berbeza berbanding Malaysia.

“Di sana, suhu boleh mencecah negatif pada waktu malam. Cabarannya apabila pergi ketika musim sejuk, suhu di Malaysia memang agak berbeza dan mungkin mengejutkan pemain.

“Kita tidak mahu mereka terganggu dengan faktor cuaca ataupun pendedahan kepada pertembungan dengan negara-negara Eropah. Jadi, aspek psikologi itu memang sangat penting,” katanya.

Dalam pada itu, Ong berkata MSDeaf menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM200,000 diperlukan bagi menampung keseluruhan kos penyertaan termasuk penerbangan, penginapan, makan minum serta pembelian pakaian dan kelengkapan musim sejuk.

Bagaimanapun, katanya, persatuan ketika ini hanya mempunyai kira-kira RM20,000 dalam tabung sedia ada dan masih giat mendapatkan sumbangan daripada pihak luar bagi melengkapkan keperluan kewangan kontinjen.

“Sebab itu kita berharap mana-mana individu atau syarikat yang berkemampuan dapat memberikan sumbangan bagi memastikan kelancaran penyertaan atlet ke Deaflympics musim sejuk,” katanya. – Bernama

KASUS Batu Kitang perkukuh perpaduan masyarakat

KUCHING, 23 November: Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Batu Kitang 2026 menjadi platform memperkukuh perpaduan masyarakat apabila menghimpunkan peserta daripada