Dua kanak-kanak maut, wanita cedera dalam kemalangan motosikal dan lori di Jalan Kampung Ladong

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberikan rawatan awal kepada mangsa wanita yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tanah dan motosikal di Jalan Kampung Ladong, Sebuyau, hari ini. Foto APM Sebuyau.

SEBUYAU, 24 November: Dua kanak-kanak maut manakala seorang wanita cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tanah di Jalan Kampung Ladong, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, motosikal berkenaan dipercayai sedang membelok ke simpang rumah di sebelah kiri jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang datang dari arah belakang.

Laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sebuyau memaklumkan, penunggang motosikal wanita dewasa mengalami patah tulang paha kanan dan tangan kanan.

MANGSA kemalangan diberikan bantuan oleh orang awam sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat di lokasi kejadian. Foto APM Sebuyau.

Dua pembonceng kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sebangan.

Menurut laporan itu, empat anggota APM Sebuyau digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.40 pagi dan tiba kira-kira 12.00 tengah hari.

Anggota APM memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang cedera serta membantu menstabilkan keadaannya sebelum diserahkan kepada ambulans Klinik Kesihatan Sebangan untuk dibawa ke Hospital Simunjan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

SEBUAH lori tanah yang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal di Jalan Kampung Ladong, Sebuyau, hari ini. Foto APM Sebuyau.

Pemandu lori dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Operasi di lokasi kejadian melibatkan APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis trafik, Kementerian Kesihatan (KKM) dan RELA.

Dalam perjalanan pulang ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sebuyau, anggota APM turut terserempak dengan satu lagi kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta Perodua Axia.

Anggota APM kemudian memberikan rawatan kepada mangsa di lokasi sebelum menyerahkannya kepada ambulans Klinik Kesihatan Sebangan untuk dibawa ke Hospital Simunjan.

Operasi bantuan bagi kemalangan pertama ditamatkan selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.

Oleh Shikin Mahmud