PETRA JAYA, 24 November: Pembangunan kampus utama Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH) di Trombol, Kuching dijangka menelan belanja lebih RM400 juta, sekali gus menjadi antara pelaburan besar kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pendidikan tinggi negeri.
Canselor TAHOTECH, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan RM42 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 merupakan peruntukan awal bagi pembangunan kampus berkenaan.
“RM40 juta itu sebenarnya peruntukan awal. Pembangunan kampus universiti ini melibatkan kos lebih RM400 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurutnya, pembangunan kampus baharu itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur pendidikan tinggi serta membangunkan ekosistem pendidikan dan inovasi Sarawak.
Katanya, TAHOTECH perlu berkembang sebagai institusi yang mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dalam bidang teknologi, kejuruteraan aeroangkasa dan pendidikan gunaan bagi menyokong keperluan ekonomi negeri.
Dalam fasa pertama pembangunan, empat fakulti dijadualkan berpindah ke kampus baharu itu, iaitu Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Fakulti Agroteknologi dan Sains Gunaan serta Fakulti Peralihan Tenaga.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, perubahan status TAHOTECH sebagai universiti penuh perlu disusuli peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi, selain keupayaan melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.
“Saya berharap Pelan Transformasi 2030 TAHOTECH dapat diterjemahkan kepada pencapaian yang nyata.
“Kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui bangunan dan kemudahan yang dimiliki tetapi melalui kualiti graduan, kekuatan penyelidikan, integriti tadbir urus dan sumbangannya kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap pembangunan kampus itu menjadi pelaburan jangka panjang dalam melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 597 graduan menerima pengiktirafan selepas menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang di TAHOTECH.
Oleh Shikin Mahmud





