MIRI, 24 November: Seramai 3,051 kanak-kanak menerima manfaat daripada perkhidmatan intervensi awal yang disediakan Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) Sarawak sejak penubuhannya pada 2020.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setakat 30 Jun 2026, seramai 648 kanak-kanak sedang mengikuti program berkenaan, manakala 518 kanak-kanak telah menamatkannya sejak 2022.
“Daripada jumlah itu, seramai 145 kanak-kanak atau 28 peratus memasuki aliran perdana, manakala 303 kanak-kanak atau 58 peratus mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Baki 70 kanak-kanak atau 14 peratus meneruskan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK),” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Awal OSEIC Sarawak Miri di Tudan, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, pencapaian itu menunjukkan kepentingan intervensi awal dalam membantu kanak-kanak yang mengalami kelewatan perkembangan membina kemahiran dan mencapai potensi masing-masing.
Menurutnya, enam tahun pertama kehidupan merupakan tempoh kritikal bagi perkembangan otak, bahasa, pemikiran, emosi, kemahiran sosial dan fizikal kanak-kanak.
“Justeru, ibu bapa tidak seharusnya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sekiranya mengesan tanda kelewatan perkembangan pada anak masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan awal OSEIC Sarawak Miri memperluas akses kepada perkhidmatan intervensi awal bagi keluarga di Miri dan kawasan sekitarnya.
Katanya, satu daripada lapan lot kedai yang dirancang untuk menempatkan pusat itu selesai diubah suai pada Oktober lalu dan mula beroperasi pada 5 November 2026. Kerja pengubahsuaian bagi tujuh lot kedai selebihnya dijangka bermula pada 2027.
Fatimah berkata, kerajaan memulakan operasi lebih awal bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan sokongan segera.
Oleh Liong Chai Ling



